KANGAR, 13 Ogos — Seorang penganggur dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah, awal bulan ini.

Tertuduh Azharadziz Zainol, 37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis (ganja) seberat 163.79 kilogram di sebuah rumah di Kampung Bohor Gandil di sini pada pukul 11.15 pagi, 4 Ogos lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,139 gram di lokasi yang sama pada 1.45 petang, 5 Ogos.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh dan mahkamah menetapkan 15 Okt untuk serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jodia Por Yi Tying, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here