ALOR SETAR, 15 Ogos — Polis melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia dari negara jiran susulan penahanan lapan lelaki dan enam wanita etnik Rohingya dalam empat serbuan di sekitar daerah ini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam di sekitar Kepala Batas, Langgar dan Simpang Empat dekat sini, dan pihaknya turut merampas beberapa dokumen disyaki palsu. 

Katanya kesemua yang ditahan berusia  antara 18 hingga 50 tahun.

“Siasatan awal mendedahkan setiap migran dikenakan bayaran RM30,000 bagi membantu mereka menyusup masuk ke sempadan Malaysia dan RM2,000 untuk urusan perjalanan serta penyediaan dokumen palsu. 

Sindiket ini dipercayai telah mengaut keuntungan lebih setengah juta ringgit dan bergiat aktif di bahagian utara tanah air sejak Januari tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 26A dan Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu penyeludupan manusia dan memiliki atau membuat dokumen palsu, serta Seksyen  6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Katanya, jika sabit  kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya.

“Polis Kedah menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini tampil menyalurkan  maklumat di talian 04-7741275 atau MERS 999 atau Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Hairul Hartini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here