IPOH, 19 Ogos  — Program Vaksin Perak (PVP) SilverVax membantu pengusaha dan pekerja restoran di Perak, mendapatkan vaksin COVID-19 dengan lebih cepat, sekali gus membolehkan industri tersebut beroperasi dengan segera termasuk aktiviti ‘dine-in’, kata Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad.

Oleh itu katanya, pemain industri yang berminat digalakkan untuk menyertai program tersebut, agar perniagaan mereka kembali beroperasi seperti biasa dan mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Mana-mana pekerja restoran serta syarikat yang hendak memulakan perniagaan dengan segera dan  lebih selamat, maka mereka boleh berhubung dengan Majuperak Holdings Bhd (MHB) bagi pengambilan vaksin SilverVax secara berbayar. Sekiranya hendak menunggu jadual pengambilan vaksin yang dikeluarkan MySejahtera, berkemungkinan akan lambat.

“Menerusi SilverVax, pihak majikan boleh membuka perniagaan dengan segera selain memperoleh keuntungan berbanding menunggu lagi berbulan-bulan, untuk memastikan semua pekerja menerima vaksin dan mereka akan menerima lebih banyak kerugian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media secara maya, selepas majlis penyerahan Hak Milik dan Notis 5A melibatkan 26 Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan 12 Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) di seluruh negeri Perak.

Program vaksinasi SilverVax telah dilancarkan pada 2 Ogos lepas dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menerusi anak syarikatnya MHB, telah dilantik mengetuai pembelian vaksin bagi PVP untuk mempercepat proses vaksinasi terutama bagi pemain industri swasta.

Kerajaan negeri Perak sebelum ini telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya aktiviti ‘dine-in’ (makan dalam premis) hanya dibenarkan, setelah pekerja premis makanan serta hotel sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji Howard Lee yang mendakwa sejak sebulan lalu, Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di Perak beroperasi melebihi kapasiti maksimum hinggakan katil ICU telah penuh dengan kapasiti 120 peratus, Saarani berkata katil yang disediakan masih mencukupi untuk menampung pesakit COVID-19 di negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here