KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Polis menahan enam lelaki warga tempatan dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran di Pudu di sini, pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Sahar Abd Latif berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 31 tahun ditahan di sebuah apartment di Pandan Perdana di sini pada 10.40 malam, sebelum soal siasat membawa polis ke premis syarikat berkenaan.

Beliau berkata polis kemudian menemukan 30 paket plastik mengandungi syabu seberat 30.98 kilogram, disembunyikan dalam kotak mengandungi alat penyedut asap masakan di premis itu.

“Polis turut merampas dua kereta jenis Honda Accord dan Perodua Myvi, manakala dadah yang dirampas mampu menampung kira-kira 62,000 pengguna dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya hasil ujian air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis ketamin dan lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Sahar berkata kesemua suspek direman selama lima hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here