KUALA LUMPUR, 20 Ogos  — Peruncit barangan pembaikan rumah MR DIY Group (M) Berhad (MR DIY) kini menyalurkan sumbangan berupa peralatan perlindungan diri (PPE) penting bernilai lebih RM432,000 kepada 136 pusat perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kecemasan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Adrian Ong dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu direalisasikan dengan kerjasama antara Malaysia Relief Agency (MRA) dan pasukan logistik serta operasi MR DIY.

“Pandemik ini merupakan masa yang amat mencabar kepada profesional penjagaan kesihatan kita dan telah meregangkan perkhidmatan penjagaan kesihatan kita ke tahap paling absolut.  

“Sebagai warga korporat yang mempunyai tanggungjawab sosial, kami ingin membantu rakyat serta negara dalam cara bermakna dan satu daripada cara kami dapat melakukannya dengan berkesan ialah menggunakan hubungan perniagaan kami dengan pengeluar global selain sistem logistik kami bagi memastikan bekalan yang diperlukan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, PPE terbabit disalurkan oleh jaringan logistik MR DIY sendiri kepada ibu pejabat polis daerah (IPD), klinik kesihatan, hospital dan pusat kuarantin di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada masa sama, MRA membantu mengenal pasti senarai penerima bantuan serta memudah cara pengagihan kesemua bekalan di Sabah dan Sarawak.

Sepanjang tempoh setahun setengah, MR DIY telah memanfaatkan hubungan langsungnya dengan pengeluar tempatan dan global, rakan kongsi logistik antarabangsa serta rangkaian penghantarannya di peringkat nasional bagi memastikan bekalan penting seperti PPE, pelitup muka dan pelindung muka mempunyai akses kepada petugas barisan hadapan penjagaan kesihatan, badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti yang terjejas di seluruh negara.  

MR DIY sebelum ini melancarkan inisiatif ‘Stay Safe, Malaysia’ apabila negara dikenakan sekatan pergerakan pada Mac tahun lepas, bagi membantu rakyat negara ini dalam cara yang bermakna mengharungi pandemik.  

Kumpulan itu juga memastikan operasi peruncitannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dan majoriti tenaga kerjanya telah divaksin.

Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang MR DIY di www.mydiy.com; platform e-dagang, www.mydiy.com.my dan saluran media sosial di Facebook serta Instagram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here