KUALA LUMPUR, 22 Ogos — HSBC Malaysia kini melancarkan perkhidmatan Permohonan DuitNow untuk perniagaan yang meliputi aspek pembayaran secara masa nyata serta selamat.

Ini juga membolehkan perniagaan terbabit mengawal sepenuhnya pembayaran masing-masing, terutama dalam usaha memperkemas kutipan pembayaran berulangan daripada pelanggan berbeza, kata bank itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selaku bank pertama di Malaysia yang bertindak sedemikian, penyelesaian baharu itu dapat mengurangkan masa serta penggunaan tenaga intensif untuk menghubungi pelanggan yang gagal melunaskan bayaran harian/bulanan mengikut tarikh ditetapkan.

“Manfaat lain penyelesaian ini adalah ia dapat disusun khusus bagi menepati keperluan perniagaan kecil dan sederhana yang merentasi industri berbeza,” katanya.

Menurut HSBC, hanya menerusi tiga cara mudah, perkhidmatan Permohonan DuitNow itu dapat membolehkan syarikat mengutip bayaran daripada pelbagai pelanggan pada masa sama.

“Perkhidmatan ini adalah lanjutan daripada ekosistem DuitNow Payments Network Malaysia (PayNet) yang bertujuan mempermudah usaha pembayaran dengan menggunakan nombor telefon mudah alih atau nombor MyKad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Kecairan dan Tunai Global HSBC Malaysia Shayan Hazir berkata perkhidmatan Permohonan DuitNow itu juga dapat dimanfaatkan oleh semua jenis perniagaan, termasuk penyedia insurans dan peruncit untuk mentransformasi dan mendigitalkan kutipan secara lancar serta mudah.

“Sejajar dengan kedudukan sebagai peneraju bank antarabangsa yang memperjuang transformasi digital, kami juga secara konsisten telah menyokong pelanggan dengan menyediakan perkhidmatan  pembayaran dan kutipan inovatif untuk membantu mereka ketika tempoh mencabar masa kini.

“Menerusi penyelesaian HSBC yang berpandukan pasaran dan berteraskan pelanggan, kami mahu mendigitalkan perniagaan pelanggan dan membantu mereka beralih kepada model pembayaran dan kutipan secara tanpa tunai yang lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here