SHAH ALAM, 24 Ogos  — Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGOI) dalam pengurusan jenazah COVID-19, perlu memenuhi beberapa kriteria daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terlebih dahulu, sebelum menawarkan khidmat pengurusan tersebut.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, antara terma dan syarat pentauliahan NGOI atau Yayasan Dalam Pengurusan Jenazah COVID-19 di Selangor antaranya, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia atau  Permerbadanan Pemegang Amanah, jika berentiti sebagai sebuah yayasan.

“NGOI itu juga telah berdaftar dengan pihak berkuasa melulus sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh permohonan, dan tujuan penubuhan NGOI mempunyai kaitan dengan peningkatan syiar Islam, pembangunan sosial dan kebajikan ummah.

“NGOI juga tidak dibenarkan membuat pungutan dana awam atau menyalahgunakan tauliah yang diberikan JAIS, dalam apa-apa cara atau keadaan,” katanya ketika menjawab soalan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang), pada persidangan DUN Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam, hari ini.

“Pertubuhan itu juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, pelanggaran undang-undang yang dikuatkuasakan, atau sebarang laporan yang dikaitkan dengan suatu tindakan yang tidak baik selepas didaftarkan, dan perkhidmatan yang diberikan adalah berasaskan tugas-tugas kesukarelawanan serta tiada sebarang bayaran dikenakan oleh JAIS,” katanya.

Azmizam ingin mengetahui berhubung status pengurusan jenazah di COVID-19 dan adakah kerajaan negeri akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), yang menawarkan pengurusan jenazah kepada golongan B40 di Selangor.

Amirudin berkata. sehingga kini seramai 189 sukarelawan terdiri daripada NGO, individu, jabatan dan beberapa pihak lain, telah berkerjasama dengan JAIS bagi membantu pengurusan jenazah COVID-19 di Selangor.

Jelasnya lagi, JAIS juga tidak mengenakan sebarang bayaran bagi perkhidmatan pengurusan jenazah COVID-19, melainkan kos membabitkan tanah perkuburan sahaja.

“Bagi tanah perkuburan pihak berkuasa tempatan (PBT), kosnya adalah antara RM120 hingga RM300, manakala kubur kariah pula kosnya tidak melebihi RM500,” katanya dan menambah sehingga 10 Ogos lalu, sebanyak 776 jenazah COVID-19 telah diuruskan oleh JAIS, dengan bantuan daripada sukarelawan di hospital negeri ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here