ALOR SETAR, 30 Ogos — Polis menahan tiga suspek wanita berumur 28 hingga 53 tahun kerana disyaki terlibat dengan kes penipuan produk kecantikan yang tidak wujud dalam laman Instagram sejak 2018.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata, penipuan itu melibatkan urusan pembelian dan pelawaan menjadi rakan kongsi perniagaan serta ‘showroom’ produk kecantikan jenama sendiri yang tidak wujud melalui laman sosial itu.

“Ketiga-tiga wanita warga tempatan itu ditahan pada 17 hingga 22 Ogos lepas di sekitar Pendang dan Alor Setar yang disyaki menjadi dalang dalam penipuan tersebut. 

“Dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu, polis berjaya menyelesaikan 14 kes berkaitan penipuan yang menggunakan modus operandi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan meminta sesiapa yang pernah ditipu suspek segera membuat laporan polis. 

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran jualan barangan secara dalam talian yang menawarkan harga murah. 

“Saya menasihatkan masyarakat agar membuat semakan terlebih dahulu bagi menentukan kesahihan tawaran yang diterima melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘check scammer CCID’ menerusi aplikasi Playstore bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here