YAN, 4 Sept — Sejumlah RM2.4 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membaik pulih empat sekolah di daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir berikutan fenonema kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada 18 Ogos lepas.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata empat sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) York Khoon dan SK Haji Nyak Gam.

“Peruntukan itu bagi membaiki kemudahan yang rosak serta menggantikan aset-aset yang musnah akibat banjir di daerah tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau kesan banjir di SK Haji Nyak Gam, di sini hari ini.

Radzi berkata kementeriannya akan memastikan pelaksanaan projek kecil membaik pulih empat sekolah itu dilaksanakan secepat mungkin supaya dapat kembali beroperasi dalam keadaan baik sekiranya sesi persekolahan dibuka pada 3 Okt depan.

“Kita dah tengok hasil pemantauannya dan saya dah maklumkan kepada Pengarah (Pendidikan) negeri agar keadaan yang terjejas itu dipulihkan segera bagi membolehkan murid-murid hadir ke sekolah sekiranya sesi persekolahan dapat dibuka semula,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata pembukaan sesi persekolahan pada 3 Okt depan dilaksanakan mengikut fasa dan kaedah tertentu yang akan dijelaskan kepada umum nanti, selepas selesai sesi libat urus antara pihaknya dengan pengurusan sekolah dan guru.

“Kami sedang adakan sesi libat urus, apabila selesai kami akan berbincang semula dengan Kementerian Kesihatan berdasarkan pandangan dan input yang kami terima, daripada situ kami umumkan apakah kaedahnya.

“Semua sudah risau 3 Okt ini seolah-olah dibuka sepenuhnya, (ia) tidak (begitu). Kami akan jelaskan satu persatu, ia satu pelan yang komprehensif termasuklah SOP (prosedur operasi standard) baharu yang akan dilaksanakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here