ALOR SETAR, 5 Sept — Perkhidmatan feri dari Kuala Kedah di sini ke Pulau Langkawi akan dihentikan selama dua minggu mulai esok berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Baharin Baharom berkata berikutan itu Terminal Feri Kuala Kedah ditutup hingga 19 Sept dan orang ramai yang ingin ke Pulau Langkawi perlulah menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis, Perlis.

“Bagi penumpang yang ingin keluar masuk ke Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri dari Langkawi ke Kuala Perlis pada pukul 11 pagi dan dari Kuala Perlis ke Langkawi pada pukul 1 tengah hari.

“Perkhidmatan feri ini akan mula dibuka esok dengan kekerapan satu perjalanan sehari dan sekiranya mendapat permintaan yang tinggi daripada penumpang, kekerapan perjalanan feri akan ditambah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata buat masa ini, kapasiti penumpang yang dibenarkan pada satu-satu masa hanya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan tempat duduk feri berkenaan.

Katanya, bagi penumpang yang telah membeli tiket perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah atau Kuala Kedah ke Langkawi, mereka boleh membuat tuntutan bayaran balik harga tiket melalui e-mel bagi pembelian secara dalam talian.

“Selain itu, tuntutan bayaran balik juga boleh dilakukan di kaunter bagi pembelian kaunter atau menukar perjalanan dari Terminal Feri Kuala Kedah ke Terminal Kuala Perlis,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua zon dalam Mukim Kuala Kedah susulan penularan COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here