ALOR GAJAH, 10 Sept — Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan pihak Jamiyah Singapura telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama dalam Program Pascasiswazah.

Pengarah Pemasaran dan Pengurusan Korporat KUIM Prof Datuk Dr Mohamad Nasir Saludin yang turut menjalankan tugas dan fungsi Naib Canselor KUIM berkata ia melibatkan tiga jurusan iaitu program Sarjana Syariah, Sarjana Pengajian Islam (Dakwah) daripada Fakulti Keilmuan Islam dan Sarjana Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan daripada Fakulti Bahasa Dan Pendidikan.

“Ini merupakan satu perkembangan sangat positif yang dibuktikan menerusi kerjasama pintar dalam bidang akademik antara kedua-dua belah pihak. 

“Melalui penawaran program pascasiswazah ini, ia dilihat akan memberi impak yang besar kepada Jamiyah Singapura kerana berkeupayaan dalam mengendalikan program pengajian yang tinggi kedudukannya dalam dunia akademik,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, majlis menandatangani MoU itu  disaksikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang juga Canselor KUIM bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar diadakan secara hibrid di Dewan Al-Malik Faisal di Pusat Islam Jamiyah serta ditayangkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook.  

Mohamad Nasir berkata majlis MoU tersebut juga diadakan sempena majlis sambutan bagi meraikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu dilantik ke Singapura.

Beliau berkata MoU antara KUIM dengan Jamiyah Singapura telah terjalin sejak 2011 dengan penawaran tiga program diploma di bawah kendalian Kolej Universiti Islam Melaka iaitu Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Usuluddin dan Diploma Tahfiz Al Quran Wal Qiraat secara sepenuh masa dan separuh masa melalui program francais. 

“Seramai 150 graduan telah berjaya dihasilkan dan kini seramai 40 pelajar Singapura masih mengikuti program francais KUIM ini di Jamiyah Singapura. Termeterainya Mou ini, maka seramai 15 orang akan mengikuti tiga program sarjana yang telah dipersetujui,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here