MELAKA, 11 Sept  — Cuti hujung minggu dimanfaatkan penduduk sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah dengan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ atau jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega Stadium Hang Jebat di sini hari ini.

Kerajaan negeri baru-baru ini membenarkan warganegara dan bukan warganegara di Melaka mendapatkan suntikan secara jumpa terus itu di semua PPV awam dan mega bermula hari ini. 

Tinjauan Bernama sejak 9 pagi tadi mendapati penerima vaksin selesa dengan keadaan tidak sesak di PPV itu dan proses suntikan juga berjalan pantas.

 Muhammad Rozaime Ghazali, 22, yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam berkata proses pemberian suntikan dos keduanya itu hanya mengambil masa setengah jam. 

“Saya ingatkan ramai orang tetapi tidak. Jadi, proses semua sangat cepat malah petugas juga cukup mesra dan banyak membantu. Kepada mereka yang belum daftar atau mendapatkan vaksin, segeralah datang secara ‘walk-in’. Sekarang ini susah untuk kita ke mana-mana jika tidak divaksin,” katanya.

Bagi K.Sugumari, 43, dari Durian Tunggal, beliau hadir ke PPV berkenaan secara sukarela memandangkan namanya tidak dipanggil dalam janji temu MySejahtera dan tidak menyangka proses pemberian vaksin itu begitu cepat dan mudah walaupun sebelum ini dimomokkan terpaksa beratur dan menunggu lama.

“Saya ingatkan susah nak dapat vaksin tetapi rupanya sangat senang. Tak sampai 10 minit sudah selesai. Memang saya gembira kerana prosesnya begitu mudah dan saya berharap semua orang yang belum divaksin dapat segera datang ke sini,” katanya.

Sementara itu, seorang petugas kesihatan di PPV itu, Dr Nooraishah Alias menyeru agar penduduk Melaka Tengah dan Alor Gajah menggunakan peluang pemberian vaksin secara jumpa terus di PPV tersebut yang dijadualkan berlangsung selama enam minggu bermula 30 Ogos lepas.

Beliau yang merupakan pengarah klinikal Klinik Keluarga One Medic berkata PPV Mega Stadium Hang Tuah menyasarkan pemberian sebanyak 5,000 dos vaksin COVID-19 setiap hari namun data harian pada minggu kedua menunjukkan hanya sekitar 400 individu hadir ke PPV berkenaan setiap hari untuk mendapatkan vaksin.

“Seperti hari ini, setakat tengah hari jumlah yang hadir sekitar 100 orang. Jadi, kita mohon agar mereka segera ambil peluang menerima vaksin dengan cara paling mudah dan pantas. 

“Mereka yang belum mendaftar, mempunyai masalah dengan MySejahtera atau berkaitan kesihatan tidak perlu bimbang kerana pegawai di sini akan bantu anda, begitu juga dengan bukan warganegara. Apa yang penting, datang, bawa dokumen yang diperlukan dan dapatkan vaksin dengan segera bagi membolehkan kita mencapai imuniti kelompok dengan segera,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here