BUTTERWORTH, 11 Sept — Polis menahan 20 lelaki termasuk 10 daripadanya yang sedang leka bermain mahjong dan judi jenis pakau, dalam pemeriksaan di sebuah premis kedai di Butterworth, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sepasukan polis yang sedang menjalankan tugas pemantauan pematuhan prosedur operasi standard telah membuat pemeriksaan di premis itu pada 12.10 tengah malam dan mendapati terdapat 20 lelaki di situ.

Beliau berkata 10 daripada mereka sedang leka bermain mahjong dan judi jenis pakau manakala 10 lagi berada di situ sebagai penonton, dan mereka didapati tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

“Polis merampas 66 keping chip, 84 buah mahjong, 52 buah blok judi pakau, kerusi dan meja serta wang tunai RM8,514 dalam serbuan itu. Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk sejak bila kumpulan itu menjadikan premis berkenaan sebagai tempat berjudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya semua mereka berusia 20 hingga 40 tahun itu dikenakan kompaun menurut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPPB) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021 manakala 10 yang ditahan ketika berjudi disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here