KUCHING, 15 Sept — Individu yang telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 akan diberi pelepasan daripada menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin apabila tiba di Sarawak berkuat kuasa esok, demikian menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun yang masuk ke Sarawak bersama penjaga yang telah lengkap vaksinasi juga akan diberikan pelepasan tersebut tetapi mereka dinasihati untuk menjalankan pemantauan kendiri di kediaman masing-masing selama 10 hari.

“Individu yang belum divaksin atau hanya menerima satu dos vaksin pula diwajibkan untuk dikuarantin selama 10 hari di pusat kuarantin yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu. 

Sarawak mencatatkan 4,709 kes baharu COVID-19 hari ini dan menurut JPBN Sarawak jumlah kes baharu itu merupakan tunggakan daripada hasil ujian yang dibuat antara 10 dan 14 Sept lepas.

Selain itu, 12 kematian baharu direkodkan dengan masing-masing dua di Kuching dan Bintulu, tiga di Lubok Antu dan masing-masing satu di Sibu, Song, Sri Aman, Betong dan Miri yang menjadikan angka kematian di Sarawak meningkat kepada 651 orang.

JPBN Sarawak turut mengisytiharkan tiga kluster baharu iaitu Kluster Sebobok di daerah Bau selepas 76 orang disahkan positif COVID-19, Kluster Sungai Ipoh (37 kes positif) dan Kluster Sungai Buloh (21 kes positif).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here