SHAH ALAM, 17 Sept — Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sejumlah 3,358 syarikat telah mendaftar di bawah Program eTrade Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang bertujuan mempercepatkan eksport melalui penyertaan berterusan dalam platform e-dagang rentas sempadan, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI ).

Timbalan Menteri MITI, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata program itu, yang telah menjana eksport sehingga RM376.3 juta, akan terus membantu syarikat baharu mengeksport dengan insentif sehingga RM5,000 bagi langganan selama setahun untuk mana-mana platform e-dagang rentas sempadan yang dipilih.

“Pada masa yang sama, insentif baharu dengan jumlah maksimum sehingga RM20,000 untuk setiap syarikat akan diberikan kepada perusahaan yang sudah melakukan e-dagang agar mereka terus terlibat dalam platform e-dagang rentas sempadan .

“Insentif ini akan digunakan dalam tempoh setahun,” katanya kepada Bernama dalam lawatan kerja ke Creativize Sdn Bhd di sini hari ini.

Syarikat tersebut merupakan pengeluar pelekat global yang mempunyai akses pasaran di lebih daripada 100 negara dan merupakan salah satu penerima manfaat Program eTrade 2.0 Matrade.

Lim berkata objektif program ini adalah untuk mempercepatkan eksport selain daripada membantu perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) mempunyai kehadiran yang terus-menerus dalam platform e-dagang rentas sempadan melalui aktiviti yang akan membantu mengekalkan perniagaan dalam talian mereka.

“Kegiatan tersebut adalah pemasaran digital, latihan e-dagang dan promosi eksport dalam talian untuk meningkatkan pendedahan termasuk peluang perniagaan mereka melalui platform e-dagang rentas sempadan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan Program eTrade akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dan Lim menggesa komuniti perniagaan tempatan terutama PKS untuk mengambil bahagian serta memanfaatkan program dan kemudahan yang disediakan.

Sebagai tambahan, Program eTrade ini akan membantu perniagaan serta PKS untuk menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu dan menerapkan pendigitalan bagi memasarkan produk mereka tidak hanya di dalam negara tetpi mendapatkan akses ke pasaran antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here