KUALA LUMPUR, 23 Sept — Sebanyak empat pelesen atau pembeli getah telah berdaftar di bawah program Koridor Lateks Wilayah Timur melibatkan 115 orang pekebun kecil sehingga Ogos 2021.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan pengeluaran lateks tempatan dan pembangunan rantaian bekalan lateks.

Bagi merancakkan pelaksanaan koridor berkenaan, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM16 juta pada tahun 2021 bagi pelaksanaan program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). 

“Pada masa ini, pengeluaran lateks banyak tertumpu di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia seperti Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kedah. 

“Justeru, pelaksanaan koridor lateks pantai timur ini akan meningkatkan lagi pengeluaran lateks negara,” kata Wee ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanyakan mengenai status dan pelaksanaan Koridor Lateks Wilayah Timur. 

Wee berkata setiap pekebun kecil getah yang menyertai program tersebut akan menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali bayar (one-off).

Para peserta juga akan menerima insentif sebanyak RM1 per kilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK). 

Pekebun kecil getah yang menghasilkan dan menjual lateks tidak perlu membuat pemohonan bagi tujuan tuntutan IPL kerana pembayaran IPL adalah secara automatik berdasarkan rekod transaksi sistem RRIMniaga.

Sebaliknya mereka perlu memastikan mereka menjual kepada pembeli getah yang menggunakan sistem RRIMniaga, katanya.

Dalam pada itu, Wee menjelaskan jumlah pengeluaran lateks negara pada tahun 2020 hanya dapat menampung sekitar 7.3 peratus jumlah penggunaan domestik terutamanya daripada sektor pembuatan sarung tangan getah. 

“Jumlah ini rendah bukan kerana kerajaan tidak proaktif, tetapi ini berlaku kerana kesan daripada keadaan pandemik COVID-19 telah menjejaskan perjalanan program.

“Sekiranya program ini berjalan dengan lancar, sasaran peningkatan sebanyak 10 peratus pengeluaran getah lateks dapat dilaksanakan,” ujar beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here