SEREMBAN, 23 Sept  — Peralihan Negeri Sembilan ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) esok, bagaikan ‘sinar di hujung terowong’ bagi pengusaha industri perkahwinan dan katering di negeri ini, setelah hampir dua tahun terjejas teruk susulan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik COVID-19.

Mengakui hampir berputus asa, pemilik butik pengantin di Port Dickson Suhana Mohd Rasip yang kini turut menjual makanan untuk mencari rezeki berkata beliau kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menjana pendapatan semula.

“Saya hampir nak tutup sebab macam tak nampak ‘cahaya’, malah ramai kawan-kawan yang sudah tutup butik mereka sebab tak mampu tanggung kerugian, tapi sekarang sudah boleh dibuka semula, saya harap ia akan terus dibuka supaya kami dapat terus bertahan,” katanya kepada Bernama di sini.

Bagi pengarah urusan sebuah syarikat katering Mohd Adam S.Warti, kebenaran untuk mengadakan majlis sosial seperti kenduri-kendara pada Fasa Empat memberi kelegaan kepada para pengusaha katering yang kerugian ratusan ribu ringgit apabila tidak dapat menjalankan perniagaan.

Menurutnya, ini disebabkan pengusaha berdepan bebanan kewangan termasuk pembatalan tempahan di saat-saat akhir, selain terpaksa membayar gaji pekerja, urusan sewa dewan dan pejabat, walaupun tidak beroperasi. 

“Saya juga terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membayar kos operasi, sememangnya pengumuman (peralihan ke Fasa Empat) tersebut dinanti-nantikan kami,” katanya yang sudah menerima hampir 10 tempahan untuk perkhidmatan katering syarikatnya selepas pengumuman tentang peralihan itu semalam.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa esok, menjadikan negeri ini negeri pertama di Semenanjung beralih ke fasa tersebut, iaitu selepas Labuan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan Haziz Hassan berkata hotel yang berdaftar sebagai ahli MAH negeri akan menawarkan harga berpatutan kepada pengunjung semasa Fasa Empat PPN nanti. 

Beliau berkata langkah itu sebagai usaha menggalakkan pelancongan sekali gus merancakkan semula ekonomi negeri, selain membolehkan industri perhotelan bangkit semula dan beroperasi seperti biasa.

“Bagaimanapun, kita mahu membuka sektor pelancongan ini secara terkawal selain memastikan pengunjung menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan kluster baharu muncul sehingga berdepan penutupan sektor pelancongan sekali lagi jika kes kembali meningkat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here