LENGGONG, 24 Sept  — Kerajaan Perak akan mewujudkan pinjaman mikro kredit tanpa faedah khusus kepada para peniaga yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri sedang berusaha mengumpul dana dan memperhalusi kaedah pinjaman itu, bagi peniaga yang memerlukan untuk memulakan perniagaan mereka.

“Sekarang ini, kita ada RM3 juta pertama iaitu RM1 juta baki dana Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) tahun lepas, RM1 juta dari Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak untuk usahawan tani, dan ketiga merupakan RM1 juta dari Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

“Saya yakin kita ada peluang untuk menambah dana tersebut dan saya akan berbincang dengan STeP untuk melihat peruntukan sebenar yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan ‘One-off’ Penjaja Majlis Daerah Lenggong di Dewan Serbaguna Kota Tampan di sini hari ini.

Beliau berkata pinjaman itu dijangka dilaksanakan selewatnya pada Januari hadapan dan akan diumumkan pada Belanjawan Perak 2022.

Katanya pinjaman itu diwujudkan bagi membantu peniaga yang memerlukan modal besar untuk memulakan perniagaan, selain bantuan sekali bayar berjumlah RM300 kepada penjaja dan usahawan yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Jumlah itu mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah peniaga. Bagi peniaga restoran, pasar malam, peniaga gerai mungkin memerlukan modal lebih besar daripada RM300.

“Kita pun tidak mampu untuk memberi dengan nilai yang lebih besar sebab bilangan usahawan ini terlalu besar dan terlampau ramai, jadi kita menawarkan pinjaman tanpa faedah atau mikro kredit,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata Perak sedang membuat penilaian semula berhubung pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) yang kurang mendapat sambutan ketika ini.

Beliau berkata rakyat Perak yang belum mendapatkan vaksin COVID-19 diberi tempoh sehingga 31 Okt ini untuk mendapatkan suntikan, sebelum PPV yang disediakan ditutup untuk orang ramai.

“Dahulu Perak pernah mencatatkan pemberian vaksin kepada sehingga 32,000 orang dalam sehari. Kalau sudah tiada orang datang kita kena tutup PPV untuk kembalikan tugas-tugas Kementerian Kesihatan di hospital dan klinik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here