SHAH ALAM, 28 Sept — Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini mengagihkan sumbangan fidyah kepada Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM) dan masyarakat Orang Asli yang berjumlah lebih RM1.9 Juta.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata RM1.775 juta daripada jumlah itu diberikan kepada 3,550 penerima dalam kalangan ahli GTSM manakala RM135,000 disumbangkan kepada 675 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam di Selangor.

“Penerima sumbangan bagi ahli GTSM menerima bantuan RM500 setiap keluarga manakala masyarakat Orang Asli Islam menerima RM200 setiap keluarga beserta pek makanan asasi seperti beras, tepung, gula dan minyak masak bernilai RM100,” katanya pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan MAIS kepada GTSM dan Orang Asli Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata sehingga kini pihaknya telah meluluskan permohonan fidyah berjumlah RM7.56 juta dan mengagihkan sumbangan kepada 33,398 keluarga penerima dengan jumlah agihan sebanyak RM4.82 juta dari peruntukan agihan fidyah MAIS sejak program itu dilancarkan pada 28 Dis tahun lepas.

Sementara itu wakil GTSM M.D Here Yanto Holik berkata sumbangan akan diagihkan melalui akaun bank bermula esok kepada pemandu teksi yang berada dalam negeri Selangor.

“Nasib pemandu teksi sepanjang pandemik ini amat menyedihkan kerana pendapatan harian mereka tidak mencapai sasaran yang diinginkan, ada dalam kalangan mereka menerima dalam RM60 sehari, kadang-kadang sekadar cukup untuk membayar sewa sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here