PUTRAJAYA, 28 Sept — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan memastikan rantaian sektor pelancongan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri.

“(Pekerjaan) bukan sahaja ditumpukan kepada kumpulan B40 semata-mata, malah menganjakkan lagi taraf hidup kumpulan M40,” katanya dalam kenyataan mengenai RMK12 dalam konteks sektor pelancongan.

Memberikan contoh usaha tersebut, Nancy berkata MOTAC akan meneroka peluang untuk penduduk di kawasan pedalaman yang berpotensi, dijadikan tempat ekopelancongan sebagai pemandu pelancong tempatan.

Nancy dalam pada itu berkata kerajaan negeri boleh mencadangkan produk pelancongan baharu untuk diketengahkan dan MOTAC akan menambah baik produk berkenaan, seterusnya mempromosikan sehingga ke persada antarabangsa.

Beliau berkata komitmen terhadap pelancongan yang mampan akan dapat mengukuhkan lagi peranan pelancongan sebagai pemangkin terhadap perlindungan alam sekitar, pemeliharaan dan pemuliharaan budaya dan warisan tempatan.

Kekayaan pelbagai sumber khazanah alam dapat diperluaskan, sehingga menjangkau masyarakat terpencil yang mampu menawarkan keunikan pengalaman kepada pelancong. Ciri-ciri ini berupaya menjadikan Malaysia sebagai destinasi ekopelancongan pilihan dunia,” katanya.

Nancy berkata MOTAC menyahut cabaran untuk mencapai sasaran ketibaan 24.3 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan berjumlah RM73 bilion pada 2025 bagi pelancongan antarabangsa, dan pendapatan sebanyak RM100 bilion bagi pelancongan domestik pada 2025.

“MOTAC melalui semua agensinya akan memastikan usaha yang lebih agresif dapat dijalankan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan,” katanya.

Beliau berkata negara perlu mengambil pendekatan baru di mana seni dan budaya diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan, dalam usaha mempromosi Malaysia.

“Sasaran kita adalah untuk meletakkan Malaysia untuk kembali semula sebagai destinasi pelancongan pilihan, tepat dengan slogan MOTAC: ‘Coming Back Stronger’,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here