KOTA KINABALU, 1 Okt  — Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin  mendahului senarai 1,299 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan sempena ulang tahun ke-68 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, esok.

Bung Moktar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, adalah antara tujuh penerima Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) iaitu darjah kebesaran tertinggi Sabah dan membawa gelaran ‘Datuk Seri Panglima.’

Turut menerima penganugerahan darjah kebesaran itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman iaitu isteri bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penerima lain ialah bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Chong Kah Kiat, Panglima Tentera Darat Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Dr Yee Moh Chai.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Jonathan Yasin pula adalah antara 66 orang yang dianugerahkan darjah kebesaran kedua tertinggi negeri iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) dan membawa gelaran ‘Datuk.’

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmy Yahya, ADUN (Dilantik) Sabah Suhaimi Nasir, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr Zulkapli Mohamed, Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali serta Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid turut dianugerahkan darjah itu.

Penerima lain termasuk Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin, Datuk Bandar Kota Kinabalu Noorliza Ag Alip, Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah Titing Putang dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain.

Seramai 95 orang dianugerahkan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) antaranya Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy serta Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Mohd Tamin Zainal.

Lima ADUN turut menerima ASDK iaitu Fairuz Renddan (Pintasan), Floria Ng (Tulid), Harun Durabi (Bengkoka), Samad Jambri (Labuk), dan Dr Aliakbar Gulasan (Dilantik).

Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pula dianugerahkan kepada 233 penerima, Bintang Setia Kinabalu (BSK) menyaksikan 346 penerima manakala 400 individu menerima Bintang Kinabalu (BK) dan 142 menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman serta legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei pula menjadi antara 10 penerima Jaksa Pendamai (JP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here