KUALA LUMPUR, 3 Okt — Cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, MIDF Research yakin bahawa tiada cukai baharu akan diperkenalkan dalam Bajet 2022 susulan pandemik COVID-19 yang masih berlanjutan.

Ia menjelaskan bagaimanapun, kerajaan mungkin perlu menambah pinjaman untuk membiayai defisit fiskal yang semakin lebar, dengan dijangka meningkat kepada 6.5 hingga 7.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021, berbanding 6.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.

Ahli Ekonomi MIDF Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata pihaknya berpandangan kini bukan masa yang sesuai untuk kerajaan memperkenalkan sebarang cukai baharu pada 2022.

Beiau berkata ini kerana masih wujud ketidaktentuan yang membelenggu situasi COVID-19 di peringkat domestik dan global, yang boleh menjejaskan kestabilan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Namun, kerajaan mungkin perlu meningkatkan pinjaman untuk membiayai defisit fiskal (yang semakin lebar). Had hutang berkanun mungkin meningkat kepada 65 peratus daripada KDNK, daripada 60 peratus pada masa ini, yang akan memberi ruang fiskal lebih besar kepada kerajaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta berkongsi harapan MIDF Research terhadap Bajet 2022 baru-baru ini.

Mengenai pengurusan fiskal, Abdul Mui’zz berkata pasukan penyelidikan menjangkakan kerajaan mengekalkan komitmen untuk menambah baik kedudukan fiskal dalam jangka pertengahan, memandangkan saiz defisit fiskal kepada KDNK mungkin dikurangkan kepada 3.5 hingga 3.0 peratus menjelang 2025 seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Menurut kenyataan prabajet, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan Akta Tanggungjawab Fiskal, yang kami jangka menggalakkan disiplin fiskal dan mempertingkatkan pemerolehan dan pengurusan hutang kerajaan.

“Ini mungkin termasuk mengkaji semula dan memperkenalkan sistem cukai baharu untuk meningkatkan penjanaan hasil kerajaan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kedudukan fiskal yang lebih baik amat penting untuk memastikan kerajaan mempunyai fleksibiliti fiskal yang lebih besar bagi menyokong ekonomi, terutama mengurangkan kesan akibat krisis ekonomi akan datang.

Peruntukan Aktiviti Berkaitan Infrastruktur dan Kesalinghubungan

Dari segi pelaburan, beliau berkata Bajet 2022 dijangka menekankan aktiviti berkaitan infrastruktur dan kesalinghubungan, justeru, akan ada peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan dan pelaburan untuk memperkukuh kedua-dua sektor ini.

“Ini boleh menjadi faktor positif dalam menarik lebih banyak pelaburan (asing) ke Malaysia,” katanya.

Mengenai infrastruktur digital dan teknologi, beliau berkata kerajaan mungkin menumpukan usaha memperluas liputan jalur lebar, meningkatkan kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih, menambah baik jaringan 4G dan menggalakkan penerimagunaan teknologi 5G.

Abdul Mui’zz berkata MIDF Research menjangkakan infrastruktur pengangkutan akan turut disenaraikan dalam Bajet 2022 selepas aspek tersebut turut dinyatakan dalam RMK12, sebelum ini.

“Malah, kerajaan juga telah menyatakan hasrat untuk membangunkan sektor logistik domestik yang lebih cekap,” katanya.

Antara projek yang disebut dalam RMK12,adalah Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo, Lebuh Raya Pantai Barat dan Lebuh Raya Utama Tengah. 

Secara keseluruhannya, beliau berkata MIDF Research menyasarkan usaha galakan pelaburan akan berpandukan dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dengan menumpukan langkah untuk menarik pelaburan berkualiti dalam usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini.

“Kami percaya pelaburan berterusan dalam prasarana ini akan menjadi inisiatif bagi menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi memandangkan peningkatan aktiviti dalam sektor pembinaan akan turut memberi kesan limpahan positif terhadap sektor ekonomi lain,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Mui’zz tidak menolak kemungkinan kerajaan akan turut mempertimbang untuk menambah peruntukan penjagaan kesihatan dan Dana COVID-19 bagi tahun depan.

Ini berikutan keberkesanan suntikan vaksin sebelum ini berkemungkinan semakin berkurangan dan memerlukan suntikan penggalak atau tambahan selain kebimbangan mengenai penularan semula kes akibat kemunculan varian baharu virus tersebut.

Bantuan Kewangan Untuk B40 Dijangka Diteruskan

Selain itu, beliau berkata kumpulan penyelidik juga percaya Bajet 2022 itu akan terus menawarkan bantuan kewangan untuk golongan memerlukan yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut, terutama golongan B40 atau isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah serta mereka yang kehilangan pekerjaan dan berkemungkinan menjadi sebahagian daripada kalangan di bawah paras garis kemiskinan.

Bagi komuniti perniagaan, Abdul Mui’zz berkata MIDF Research mengunjurkan lebih banyak sokongan disalurkan dalam Bajet 2020 yang merangkumi geran, skim pembiayaan dan program latihan terutama untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menurutnya, bantuan kewangan itu dijangka dapat menggalakkan perbelanjaan domestik lebih tinggi oleh kalangan pengguna dan perusahaan perniagaan.

Dalam pada itu, beliau berkata langkah-langkah bagi menambahbaik pasaran tenaga kerja juga dijangkakan turut tersenarai dalam Bajet 2022 susulan pemulihan pasaran kerja yang kurang memberangsangkan dan impak daripada sekatan pergerakan sepenuhnya pada 1-14 Jun, 2021.

“Langkah-langkah yang mungkin diusulkan adalah insentif bagi tujuan pengambilan dan latihan pekerja, lanjutan subsidi upah bagi melindungi pekerjaan serta sokongan untuk ekonomi gig dan pekerjaan tidak formal,” katanya.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt, 2021.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here