KUALA TERENGGANU, 3 Okt — Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan pelancongan termasuk pusat rekreasi di seluruh negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.

Beliau berkata peruntukan itu sebagai persediaan sebelum sektor pelancongan negeri dibuka kepada pelancong luar tidak lama lagi.

Katanya, setakat ini hampir semua lokasi atau pusat pelancongan ikonik negeri sudah kembali beroperasi dan bersedia menerima pelancong sekiranya pengumuman rentas negeri dibuat dalam masa terdekat.

“Kami ada peruntukan tambahan sehingga RM1 juta untuk program gotong-royong dan membaiki apa yang rosak (kemudahan pelancongan) demi keselesaan pelancong.

“Selain itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu juga ada menyediakan peruntukan bagi membangunkan lima hingga 10 produk pelancongan di setiap daerah dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke sini,” katanya selepas merasmikan pembukaan semula Kampung Budaya Terengganu, di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Ariffin berkata Kampung Budaya Terengganu yang merupakan tarikan pelancongan baharu, dibuka kepada pengunjung bermula hari ini dan tiada bayaran masuk dikenakan sehingga 31 Disember ini.

“Antara tarikan utama di Kampung Budaya Terengganu ialah lapan rumah tradisional seperti Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berpeleh Berkembar dan Rumah Limas Belanda yang memiliki ciri seni bina tersendiri.

“Kami juga sudah membuat beberapa perancangan untuk menaik taraf kemudahan dan memperbanyakkan aktiviti kebudayaan di Kampung Budaya ini tanpa mengubah ciri tradisional serta keunikan yang sedia ada,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here