PUTRAJAYA, 18 Okt  — Sebanyak 40 pasukan membabitkan 140 peserta warga institusi pengajian tinggi (IPT) telah mengesahkan penyertaan dalam Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021.

Antara peserta terlibat ialah daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pendidikan MARA (IPMa).

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Noor berkata objektif pertandingan bertujuan membentuk mahasiswa yang berani menyuarakan pendapat berkenaan isu rasuah dan integriti, selain melahirkan mahasiswa yang mengangkat nilai ketelusan sebagai teras kehidupan dan meraih sokongan mahasiswa dalam usaha pencegahan rasuah.

“Sambutan menggalakkan ini menunjukkan bahawa penglibatan serius para penuntut IPT dalam penerimaan mesej antirasuah melalui pertandingan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan selama empat hari itu akan bermula pada 22 hingga 24 Okt dengan pertandingan akhir akan berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Format pertandingan debat antirasuah yang menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya itu adalah Asian Parliamentary atau Debat Ala Parlimen, yang menemukan dua pasukan terdiri daripada pencadang atau kerajaan dan pembangkang yang terdiri daripada tiga pendebat utama dan seorang simpanan.

Juara pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing RM1,500.

Razim berkata ketua juri pertandingan kali ini adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merangkap Hakim Kelas Tertinggi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) Dr Mohd Fahmy Abdullah.

Pertandingan Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM itu merupakan kali kedua diadakan selepas kali pertama pada 2019 dengan Pasukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjuarai pertandingan berkenaan.

Pertandingan itu akan disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook dan YouTube MACCfm.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here