PUTRAJAYA, 21 Okt  — Sistem pembayaran gaji pekerja asing yang dilaksanakan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara yang menarik perhatian Malaysia untuk kajian penambahbaikan berhubung pengurusan pekerja asing di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr M.Saravanan dalam satu kenyataan berkata sistem itu adalah antara topik yang dibincangkan dengan rakan sejawatannya Dr Abdulrahman Abdulmannan Al-Awar ketika beliau melakukan kunjungan hormat di Dubai semalam.

“Sistem pembayaran gaji sistematik yang dilaksanakan kerajaan UEA itu dilihat sebagai suatu sistem berkesan sekaligus melindungi kepentingan pekerja asing,” katanya.

Malaysia ketika ini sedang dalam peringkat akhir memperhalusi sistem e-Wages yang bakal dilancarkan tidak lama lagi untuk memastikan setiap pekerja di negara ini termasuk warga asing dibayar gaji dan upah seperti yang dijanjikan majikan. 

Saravanan berkata pelbagai isu berkaitan turut dibincangkan termasuk aspek perburuhan, pengurusan sumber manusia dan pengurusan pekerja asing, 

Beliau berkata pertemuan turut membincangkan peluang kerjasama strategik antara Malaysia dan UAE melalui perjanjian dua hala bagi golongan profesional dan pekerja berkemahiran tinggi.

“Ini termasuk kemungkinan tawaran pekerjaan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam antara pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua negara,” katanya.

Lebih 6,000 rakyat Malaysia kini bekerja di UAE terutama dalam sektor petroleum dan kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here