KUALA LUMPUR, 21 Okt — Sebanyak 7,562 kes sembuh COVID-19 direkodkan setakat 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kumulatif kini 2,303,583, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagi kes baharu COVID-19 pula daripada 6,210 kes yang direkodkan, hanya 116 kes atau 1.9 peratus adalah dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima manakala baki 6,094 kes atau 98.1 peratus adalah Kategori Satu dan Dua iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 6,168 adalah penularan tempatan manakala 42 lagi adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata terdapat 677 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 319 memerlukan bantuan pernafasan. 

Enam kluster baharu dikenal pasti, melibatkan tiga kluster komuniti, dua kluster tempat kerja dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data akan dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here