BUKIT MERTAJAM, 29 Okt — Seorang pemilik kedai runcit di Bukit Minyak di sini dikompaun RM6,500 kerana memproses dan menjual minuman keras tanpa lesen.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) Mohd Wazir Khalid berkata kompaun itu dikeluarkan menerusi Op Methanol yang memeriksa kedai runcit dan rumah lelaki berkenaan bermula 7 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata ketika pemeriksaan, lelaki berusia 40-an itu tiada di kedua-dua premis itu dan dua notis kompaun mengikut Akta Makanan 1983 tersebut diserahkan kepada isterinya yang merupakan warganegara Vietnam.

“Pemeriksaan mendapati wanita tersebut menguruskan premis (kedai runcit) yang menjual minuman keras tanpa kebenaran manakala rumahnya yang terletak berhampiran dijadikan tempat pemprosesan minuman keras itu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Mohd Wazir berkata Op Methanol yang disertai 15 anggota penguat kuasa itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan 11 berkaitan kes keracunan metanol dalam kalangan warga asing di sekitar daerah Seberang Perai Tengah tahun ini dengan tujuh daripadanya melibatkan kes maut.

Beliau berkata sampel minuman keras tersebut telah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan jika minuman tersebut disahkan mengandungi kadar metanol melebihi had ditetapkan, pihaknya akan membuka kertas pertuduhan terhadap lelaki itu.

Katanya bagi penjualan dan pemprosesan minuman keras tidak berlesen di kawasan perumahan itu, pihaknya akan mengemukakan kes tersebut kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai untuk tindakan lanjut manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat kerana rumah berkenaan turut didiami seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, masing-masing berumur tujuh dan tiga tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here