KUALA LUMPUR, 5 Nov — Misi Peningkatan Eksport (EAM) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membabitkan sektor jentera dan peralatan atau M&E ke Jerman pada bulan lepas, berjaya menjana potensi jualan eksport bernilai kira-kira RM55 juta.

Penganjuran misi secara maya pada 18-22 Okt, 2021, telah disertai oleh 18 syarikat M&E Malaysia, demikian menurut MATRADE dalam kenyataannya hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan (Peningkatan Eksport) MATRADE, Sharimahton Mat Saleh berkata Malaysia menjadi destinasi pilihan oleh syarikat-syarikat multinasional bagi tujuan penyumberan luar proses pembuatan dan penyelesaian automasi di rantau Asia Tenggara, terutamanya disebabkan oleh faktor kewujudan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri sokongan, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti reka bentuk kejuruteraan.

“Susulan pempelbagaian rantaian bekalan itu, syarikat-syarikat Jerman dalam proses mendapatkan bahagian jentera, komponen dan penyelesaian automasi untuk menyokong kejuruteraan industri, reka bentuk produk dan pembangunan teknologi mereka, serta operasi perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

Jerman merupakan pasaran penting bagi eksport M&E Malaysia dan muncul pasaran terbesar eksport di Eropah dengan nilai sebanyak US$248.81 juta serta bahagian pasaran sebanyak 2.6 peratus daripada keseluruhan eksport M&E.

Negara itu juga kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dalam Kesatuan Eropah manakala Malaysia pula masih menjadi rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Dalam misi tersebut, antara produk M&E yang dipromosi untuk kalangan pembeli Jerman termasuk peralatan kejuruteraan automasi, alat tera logam, pemasangan sistem pengudaraan, penggunaan wayar dan mesin, alat ketepatan acuan suntikan dan komponen bagi kegunaan pelbagai sektor seperti automotif, peranti perubatan, aplikasi perindustrian, elektronik pengguna, automasi pejabat, peralatan rumah serta aeroangkasa.

Objektif misi tersebut adalah bagi mengetengahkan produk dan perkhidmatan berkaitan M&E Malaysia selain untuk menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran sektor tersebut di rantau Asia Tenggara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here