MELAKA, 13 Nov  — Sejarah Barisan Nasional (BN) belum berakhir dan gabungan itu tidak pernah berundur menjaga kepentingan rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menepis dakwaan pihak tertentu yang mendakwa sejarah BN telah terhenti, Ahmad Zahid berkata seluruh jentera, ahli dan penyokong BN, berpadu dengan semangat membara untuk membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.

“Yakinilah sejarah BN tidak akan terhenti dan sentiasa terus membara selagi ada daya dan upaya, ilham dan kudrat anugerah Ilahi,” katanya dalam satu kemas kini di laman Facebooknya hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun pelbagai tohmahan, fitnah, cercaan, kejian, hinaan dan cacian dilemparkan dari pelbagai hala ditujukan kepada BN, ia tidak pernah mengurangkan keyakinan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi seluruh pendokong dan penyokong BN di seluruh negara.

“Malah akan menguatkan semangat seluruh jentera, ahli dan penyokong BN untuk memenangi PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka kali ini,” katanya yang juga Presiden UMNO.

Pada PRN Melaka, BN bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mempertaruhkan 20 kerusi UMNO, MCA tujuh manakala MIC bertanding satu kerusi.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here