KUALA LUMPUR, 13 Nov — Siapa sangka sebuah syarikat yang pada asasnya menghasilkan komponen kenderaan kini mampu melebarkan sayapnya dengan mencipta permainan blok jenama Agola.

Permainan blok Agola keluaran syarikat Prisma Quantum Sdn Bhd yang bertapak di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor dan mula diperkenalkan pada pertengahan 2019 itu merangkumi 35 bentuk permainan blok yang dijual pada harga jauh lebih murah berbanding produk permainan blok diimport.

Pengarah Urusan Prisma Quantum Sdn Bhd Mohd Fo’at Abd Jalil berkata Agola sememangnya tidak dikenali ramai namun atas inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi penyertaan syarikatnya dalam siri jelajah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), ia kini mendapat permintaan tinggi.

“Ada suatu ketika, saya sendiri mengambil inisiatif untuk menjual permainan blok ini (Agola) di beberapa platform beli-belah lain tetapi tidak mendapat sambutan namun produk syarikat kami mendapat perhatian daripada pihak KPDNHEP yang menawarkan peluang untuk mengikuti program dilaksanakan mereka.

“Alhamdulillah, syarikat kami terpilih antara 20 syarikat untuk turut serta dalam KBBM tahun ini. Kita diberi peluang mengikuti siri jelajah dengan membuka ‘booth’ di lima lokasi antaranya Ipoh, Perak dan Pavillion, Kuala Lumpur untuk memperkenalkan permainan blok ini,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Fo’at turut bersyukur program anjuran KPDNHEP itu membolehkan syarikatnya menguasai ilmu latihan dan pemasaran yang sememangnya diperlukan oleh usahawan.

“Saya berharap KBBM ini diteruskan bagi memperkenalkan barangan buatan Malaysia kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata KPDNHEP sangat membantu dalam memperkenalkan produk Agola yang merupakan 100 peratus buatan Malaysia menggunakan bahan mentah daripada gred makanan yang selamat selain mempunyai persijilan SIRIM Berhad.

“Pihak kementerian telah membantu syarikat untuk mencapai matlamat memperkenalkan produk permainan blok Agola ini di seluruh dunia dan seiring dengan jenama permainan blok lain,” katanya.

Sepanjang negara berdepan cabaran akibat penularan wabak COVID-19, Mohd Fo’at telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan permainan blok Agola baharu iaitu ‘Keyray Steam Education Pack 50 in 1’ yang mempunyai 50 bentuk permainan blok dalam satu kotak permainan.

Ketika kebanyakan negeri sudah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata syarikatnya menerusi inisiatif KPDNHEP diberi peluang bekerjasama dengan tadika di bawah kelolaan kerajaan dan swasta serta prasekolah untuk memperkenalkan ‘Keyray Steam Education Pack 50 in 1’ sebagai satu daripada proses pembelajaran.

Sementara itu, pengurus syarikat Kopi Dagang Resources (M) Sdn Bhd Mohd Shariffuddin Ibrahim berkata KPDNHEP telah membantu syarikatnya dari segi kursus bimbingan menguasai kemahiran pengurusan syarikat selain menyediakan beberapa program serta seminar mengenai pemasaran serta pembangunan produk.

“Menerusi program itu, pelbagai perkongsian dan perbincangan susulan oleh pihak KPDNHEP bersama usahawan lain juga telah membantu pelbagai aspek pembangunan syarikat,” katanya.

Menurut Mohd Shariffuddin, selain seminar dan kursus, KPDNHEP juga berjaya membantu mengembangkan perniagaannya dengan memberi peluang mengikuti siri jelajah KBBM di beberapa lokasi di seluruh negara.

“Siri jelajah KBBM sangat membantu menjadikan jenama MOSHA keluaran kopi dagang semakin dikenali. Selain itu, program itu membantu syarikat dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan serta berjaya memperkenalkan kami kepada pelanggan berpotensi di dalam mahu pun di luar negara,” katanya.

Beliau berkata dalam tempoh enam tahun lepas, syarikat Kopi Dagang telah mengikuti lebih daripada 30 kali program bersama KPDNHEP dan berharap kementerian itu akan terus membantu membangunkan perusahaan yang dijalankan usahawan.

Kopi Dagang Resources (M) Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 2003 dan beroperasi di Kapar, Klang telah menghasilkan 137 jenis produk minuman serbuk pracampuran serta sedia untuk diminum’ (RTD) berasaskan kopi, teh, koko, buah-buahan dan lain-lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here