PUTRAJAYA, 17 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau mahukan supaya Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) menjadi rolling-plan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Berdaya Huni.

Beliau berkata RFN4 yang dirangka dengan tiga Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan, adalah dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Dalam ucapannya pada majlis sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia serta pelancaran RFN4 di sini hari ini beliau berkata melalui semua teras yang dirangka dalam RFN4, ia akan menjadikan Keluarga Malaysia sebagai penerima manfaat utama dengan pendekatan keterangkuman kemakmuran.

“RFN4 memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur dan berdaya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya,” katanya.

RFN4 telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 yang dipengerusikan Ismail Sabri pada 22 Okt lepas.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, RFN 4 memberi penekanan kepada aspek perancangan keselamatan negara, peningkatan infrastruktur digital, pembangunan bercirikan pintar, negara ke arah neutral karbon, jaminan sekuriti makanan negara dan pembangunan komuniti yang inklusif dan berdaya huni.

RFN dikaji setiap lima tahun untuk memastikan kesesuaiannya selaras dengan perubahan pesat dalam persekitaran fizikal, ekonomi, sosial dan alam semula jadi.

Ismail Sabri berkata RFN4 juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti New Urban Agenda (NUA) dan Sustainable Development Goals (SDGs), serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Beliau berkata bagi melihat keseluruhan pelaksanaan RFN4 serta aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara, Indeks Daya Huni Malaysia akan diperkenalkan.

Katanya di seluruh dunia Daya Huni menjadi instrumen penting dalam menarik pelaburan dan menjadikan persekitaran mesra pelabur, dan ini termasuklah soal ‘last-mile connectivity’, akses kepada internet dan akses kepada kemudahan awam dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat.

Ismail Sabri berkata Indeks Daya Huni Malaysia akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa temptan (PBT) dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya, dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah RFN4.

“Indeks Daya Huni ini juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN4 dengan didasari RMK12 dapat dicapai sebaiknya,” katanya.

Mengenai profesion perancangan bandar, Ismail Sabri berkata profesion itu amat signifikan kepada negara bagi memastikan pelaksanaan pembangunan negara bersifat inklusif dan strategik.

“Profesion perancang bandar ini saya anggap sebagai the silent hero yang menjadi titik mula kesemua pembangunan fizikal negara yang merangkumi Rancangan Struktur serta Rancangan Tempatan secara menyeluruh di semua peringkat kerajaan,” katanya.

Majlis sambutan 100 Tahun Perancang Bandar di Malaysia itu diadakan sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here