GEORGE TOWN, 20 Nov — Susulan aktiviti pelancongan yang semakin rancak di Pulau Pinang dengan kelonggaran kawalan pergerakan, Festival George Town (GTF) 2021 melancarkan kempen kesenian ‘Nine Days Eight Exhibitions’(Sembilan Hari Lapan Pameran) dan ‘Nine Days Eight Shows’ (Sembilan Hari Lapan Pertunjukan) mulai hari ini.

Pengarah GTF 2021 Jack Wong berkata kempen pertama ‘Nine Days Eight Exhibitions’ akan diadakan di tujuh lokasi berbeza di negeri ini bermula 20 hingga 28 Nov, yang menawarkan pameran percuma meliputi lukisan, fotografi dan seni pemasangan.

Sementara itu, katanya, kempen kedua ‘Nine Days Eight Shows’ pula akan berlangsung pada 4 hingga 12 Dis di pelbagai venue setempat, seperti konsert rainforest, persembahan tarian kebudayaan dan kontemporari, muzik Jepun dan filem Perancis, wayang kulit tradisional serta komedi ‘stand-up’ atau komediri.

“Kami mengadakan acara di lokasi berlainan bukan sahaja untuk mempromosi kesenian dan kempen tersebut dalam suasana berbeza, tetapi juga untuk mempromosi pelancongan di Pulau Pinang… Kami berhasrat menunjukkan kepada orang ramai keunikan elemen-elemen yang mewakili George Town, yang tiada di negeri lain.

“Kira-kira 95 peratus daripada para peserta adalah artis tempatan. Kami mencuba kaedah baharu untuk mempromosi seni, selain memberi sokongan dan membantu mereka menjana lebih pendapatan semasa pandemik ini,” katanya selepas melancarkan acara berkenaan hari ini serta menambah, acara secara fizikal itu ditangguhkan sejak Julai ekoran pandemik COVID-19.

Wong berkata berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, hanya 1,200 tiket ditawarkan kepada orang awam dan separuh daripada jumlah itu telah pun dijual.

“Saya percaya dan berbangga dengan sokongan yang diberikan kerajaan negeri, telah membantu artis tempatan dan pemain industri di seluruh Malaysia untuk terus menghidupkan bidang seni,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here