SARIKEI, 28 Nov — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah diminta untuk mengkaji pembekalan liputan Internet menggunakan jalur lebar tanpa wayar tetap (FWB) secara meluas di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata analisis faedah kos itu adalah bagi menentukan keberkesanan dalam menyediakan kemudahan Internet kepada rakyat.

Sistem itu telah digunakan di bawah inisiatif transformasi digital Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang dilancarkan oleh kerajaan negeri pada April lepas bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi ke kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.

“Ini adalah satu program untuk melengkapkan program induk bagi kawasan yang lompang, tertinggal atau tidak dapat mencapai capaian Internet, biasanya di pinggir-pinggir sfera liputan dari menara sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek MySRBN di Taman Susur Jambu di sini hari ini.

“Saya minta supaya MCMC membuat sedikit kajian lanjut untuk melihat dari sudut teknikal, kecekapan kos dan sejauh mana ia boleh disesuaikan dengan program sedia ada walaupun program 4G di Sarawak sudah mencapai lebih 80 peratus,” katanya.

Annuar berkata setakat suku ketiga 2021, program migrasi 3G ke 4G di Sarawak telah meningkat daripada 72 kepada 83 peratus dan menjelang akhir tahun depan, ia mampu mencecah 90 peratus.

Beliau berkata bagaimanapun, akan wujud kawasan yang tertinggal serta tidak mendapat liputan 4G kerana Sarawak adalah sebuah negeri yang luas dan penggunaan jalur lebar tanpa wayar tetap di kawasan itu boleh dilihat dengan lebih mendalam.

“Secara teknikalnya, sistem ini bagus kerana dapat memberi capaian 30 hingga 35 mbps dan ini adalah baik kepada pengguna walaupun ia hanya dipakai di rumah dan bukan mudah alih,” katanya.

Annuar turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak yang mempercepat penyediaan kemudahan itu melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dan sejak ia dilancarkan, sebanyak 12,000 daripada 45,000 rumah yang disasarkan sudah dipasang dengan sistem tersebut.

“MCMC boleh buat kajian dan kita boleh dapatkan kerjasama dengan SDEC untuk dipakai di tempat lain,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Sudarnoto Osman pula berkata fasa pertama projek MySRBN membabitkan 150 tapak antara kawasan Telok Melano di selatan Sarawak dan Lawas di utara negeri itu telah disiapkan dengan 44 tapak lagi akan dibina di bawah fasa keduanya.

Beliau berkata rakyat yang tidak mendapat liputan Internet boleh memohon untuk melanjutkan perkhidmatan itu ke kawasan mereka melalui laman sesawang https://sarawak.digital/mysrbn.

Katanya SDEC bekerjasama dengan MCMC dalam menyediakan liputan Internet di Sarawak dengan melaksanakan pembinaan 600 menara komunikasi di seluruh negeri itu.

MCMC pula membina sebanyak 636 menara komunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara dan dengan itu, kedua-dua pihak dapat menyediakan liputan sebanyak 94.3 peratus di Sarawak.

“Daripada 600 menara itu, 300 sudah didirikan dan pemasangan peralatan dijangka siap pada suku pertama tahun depan. Selebihnya dijangka siap pada hujung tahun depan,” katanya.

Mengenai bayaran penggunaan MySRBN, Sudarnoto berkata ia akan diumum oleh kerajaan negeri dan sehingga tiba detik itu, rakyat Sarawak masih boleh menggunakannya secara percuma.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here