LANGKAWI, 4 Dis — Sebanyak 30 usahawan atau pengusaha industri pelancongan di seluruh negara telah menerima pembiayaan berjumlah kira-kira RM300 juta di bawah Tabung Khas Pelancongan (SFT3) yang disediakan kerajaan menerusi SME Bank.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata pembiayaan tersebut bertujuan membantu pengusaha industri terbabit membangunkan atau mengembangkan produk pelancongan masing-masing.

Beliau berkata SME Bank menyediakan peruntukan RM500 juta di bawah SFT3.

“Dalam RM500 juta ini sekarang ini tinggal baki lebih kurang RM200 juta setelah RM300 juta kita sudah berikan pembiayaan kepada usahawan yang terlibat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan program Jom Xcess SME Bank 2021 peringkat Wilayah Utara di sini hari ini.

Beliau berkata baki RM200 juta lagi itu akan diagihkan dalam masa terdekat bagi membantu pengusaha industri pelancongan memulihkan kembali perniagaan mereka selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Noh berkata usahawan yang menerima pembiayaan itu turut diberikan subsidi dua peratus atas kadar faedah yang dikenakan sekali gus mengurangkan jumlah bayaran balik pinjaman mereka.

Beliau juga memberi jaminan bahawa SME Bank tidak akan mengambil tindakan undang-undang ke atas usahawan atau pengusaha industri kecil dan sederhana (PKS) yang berhadapan masalah untuk membuat bayaran balik pinjaman dengan bank itu.

Katanya, langkah itu sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang mahukan usahawan dan PKS dibantu untuk memulihkan perniagaan mereka.

“Selain pembiayaan yang disebutkan tadi, SME Bank turut memberikan moratorium bayaran balik pinjaman sehingga Oktober tahun depan, jadi pinjaman pun dia bagi moratorium pun dia bagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here