KUANTAN, 6 Dis — Menara 188, ikon bandar raya Kuantan, telah disewakan kepada syarikat swasta Hospitality 360 Sdn Bhd sebagai operator menara itu yang akan kembali menerima pengunjung pada pertengahan bulan ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata sewaan itu bertujuan agar operasi dan penyelenggaraan menara itu berjalan baik, selain memberi pendapatan kira-kira RM600,000 setahun kepada kerajaan negeri. 

“Pembinaan Menara 188 tidak melibatkan kewangan kerajaan negeri sebaliknya melibatkan peruntukan daripada Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri dan diletakkan di bawah Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). 

“Bagaimanapun, operasi dan penyelenggaraan menara ini memerlukan kemahiran dan kemampuan kewangan menyebabkan kita menyewakannya kepada pihak swasta. Sebenarnya kita menunggu agak lama sebelum ada syarikat yang berminat bertindak sebagai operator kerana ia siap dalam tempoh pandemik,” katanya. 

Mohd Sharkar berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) yang ingin mendapatkan pengesahan jika benar menara yang terletak di tepi Sungai Kuantan itu telah disewakan kepada syarikat swasta.

Penyewaan kepada syarikat swasta juga menurut Mohd Sharkar, bukan suatu yang luar biasa kerana kerjasama antara kerajaan negeri dan pihak swasta dalam sektor pelancongan adalah diperlukan terutamanya bagi menghidupkan semula sektor itu selepas teruk terkesan dengan COVID-19. 

Beliau berkata pembinaan menara itu adalah wajar bagi menjadi ikon atau tanda pengenalan kepada bandar raya Kuantan seperti mana Menara Berkembar Petronas (KLCC) menjadi ikon di Kuala Lumpur, Burj Khalifa di Dubai dan Menara Eiffel di Paris. 

Pada sesi soal jawab itu, Lee Chean Chung (PH-Semambu) juga membangkitkan persoalan mengenai harga tiket masuk bagi ‘melihat dinosaur’ di Zoo Teruntum di sini iaitu RM25 bagi dewasa dan RM22 bagi kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) adalah mahal termasuk jika dibandingkan dengan beberapa zoo lain. 

“Jika ibu bapa yang mempunyai empat orang anak mahu memasuki zoo itu, mereka perlu mengeluarkan wang sebanyak RM138 dan ini sudah tentu bertambah jika membawa cucu. Kita mohon ini boleh dikaji semula atau sekurang-kurangnya memberi diskaun kepada pemegang kad pengenalan dengan kod negeri Pahang,” katanya. 

Mohd Sharkar berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan yang boleh mengatasi masalah itu seperti pemberian baucar, walaupun harga tiket itu telah melalui beberapa pertimbangan dan perbincangan sebelum dimuktamadkan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here