JOHOR BAHRU, 10 Dis — Satu sindiket perjudian dalam talian tumpas dengan penahanan lima lelaki warga Indonesia susulan serbuan di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua yang ditahan berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun dan berperanan sebagai operator tambah nilai kredit serta pengeluaran kredit judi dalam talian. 

Beliau berkata serbuan itu, hasil maklumat awam dan risikan polis lebih sebulan, turut mendapati premis rumah berpagar dan berpengawal dijadikan sebagai pusat judi dalam talian yang beroperasi 24 jam.

Ayob berkata sindiket itu, yang dipercayai beroperasi sejak Mac lepas, menyasarkan pelanggan tempatan dengan nilai kutipan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari menerusi tiga laman sesawang iaitu www.gin557.comwww.gingin8.com dan www.gin551.com

“Jika dikira sejak Mac lepas, keuntungan sindiket ini bernilai jutaan ringgit. Segala transaksi adalah melalui perbankan dalam talian dari beberapa akaun yang telah dikenal pasti dan semuanya adalah akaun bank Malaysia,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek dipercayai menerima gaji di antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan selain komisyen di antara RM500 hingga RM800 berdasarkan keuntungan bulanan.

Ayob berkata polis turut merampas tiga unit komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah.

“Kesemua suspek dipercayai masuk ke negara ini sejak 2019 melalui pas lawatan sosial. Pasport mereka dipegang oleh ejen sindiket terbabit dan dalang utama sindiket sedang dikesan.

“Mereka ini bekerja secara rela kerana gaji yang ditawarkan adalah lumayan,” katanya.

Beliau berkata suspek direman mulai semalam hingga Ahad mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan denda RM50,000.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here