IPOH, 13 Dis  — Masalah kewangan, masalah peribadi, mabuk dan penceraian antara faktor yang menyebabkan kes keganasan rumah tangga berlaku di Perak sejak pandemik COVID-19 melanda negara, persidangan Dewan Undangan Negeri Perak diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata mengikut statistik polis, 551 kes keganasan rumah tangga dicatatkan sejak Mac 2020 hingga Oktober lepas manakala 133 kes dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perak dalam tempoh yang sama.

“Tiga daerah yang mencatatkan berlakunya kes keganasan rumah tangga yang tertinggi ialah Kinta sebanyak 39 kes, Larut, Matang dan Selama (LMS) sebanyak 22 kes dan Manjung dengan 21 kes sebagaimana yang telah dilaporkan kepada JKM bagi 2020 hingga November tahun ini,” katanya.

Wan Norashikin berkata demikian bagi menjawab soalan Salbiah Mohamad (BN-Temenggor) yang ingin tahu statistik terkini keganasan terhadap wanita di negeri Perak dan bilangan mangsa yang mendapatkan perlindungan di rumah perlindungan serta tindakan kerajaan negeri bagi memastikan perlindungan berterusan kepada wanita kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata bilangan kes jenayah seksual dicatatkan oleh polis yang melibatkan kesalahan rogol, seksual terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat adalah sebanyak 311 kes bagi tempoh sama dengan rogol adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 144 kes dilaporkan manakala bagi bilangan kes gangguan seksual, melibatkan kesalahan perbuatan lucah adalah sebanyak 22 kes.

Katanya, sebagai langkah dalam memberi bantuan dan khidmat sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga, kerajaan negeri melalui JKM menyediakan khidmat nasihat berkaitan keganasan rumah tangga, membantu mendapatkan Perintah Perlindungan, bantuan kaunseling oleh Pegawai Psikiologi dan Kaunselor JKM.

Menurutnya, mangsa juga diberikan perlindungan di tempat perlindungan dan tempat selamat serta dirujuk kepada jabatan dan agensi lain yang berkaitan seperti Mahkamah Syariah, Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Biro Bantuan Guaman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here