PUTRAJAYA, 15 Dis  — Permohonan pelanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada pendatang tanpa izin bagi Program Rehiring akan dibuka mulai 20 Dis ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata ia dilaksanakan selepas kerajaan pada 19 Nov lepas bersetuju agar tempoh penggajian pemegang PLKS bagi Program Rehiring dilanjutkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun tertakluk kepada keperluan.

Katanya langkah itu diambil  susulan PLKS yang sah laku untuk tempoh lima tahun bagi Program Rehiring yang telah bermula pada 2016 akan tamat secara berfasa mulai tahun ini sehingga 2024.

“Bagi mengelakkan majikan terputus sumber tenaga kerja terutama dalam sektor pekerjaan 3D iaitu ‘dirty, difficult dan dangerous’ (kotor, bahaya dan sukar), kerajaan bersetuju agar tempoh penggajian pemegang PLKS bagi Program Rehiring dilanjutkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Program Rehiring adalah inisiatif kerajaan bertujuan memberi peluang kepada pendatang tanpa izin yang bekerja di Malaysia untuk diberikan PLKS yang sah untuk tempoh maksimum lima tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor-sektor yang dibenarkan.

Khairul Dzaimee berkata sehingga 30 Nov lepas, Jabatan Imigresen merekodkan 185,577 PLKS Program Rehiring yang masih aktif.

Bagi memohon pelanjutan PLKS, pekerja dan majikan hendaklah tidak melanggar apa-apa syarat pas yang dikeluarkan semasa penggajian di bawah Program Rehiring ini.

Pekerja yang disenarai hitam adalah tidak layak untuk memohon lanjutan dan pekerja juga tidak boleh bertukar majikan atau sektor kecuali melalui kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri.

“Hanya majikan dan wakil majikan yang sah dibenarkan mengemukakan permohonan lanjutan dan lanjutan PLKS hanya dibenarkan secara dalam talian melalui Sistem Lanjutan PLKS Dalam Talian (ePLKS@JIM) atau MyEG,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pertimbangan pelanjutan PLKS tertakluk kepada prosedur penggajian pekerja asing yang berkuat kuasa.

Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah Program Rehiring di laman sesawang Jabatan Imigresen di pautan www.imi.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here