KUALA LUMPUR, 16 Dis  — Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam akan dibawa ke Dewan Negara minggu depan. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Rang Undang-Undang itu perlu dibawa ke Dewan Negara secepat mungkin supaya ia boleh digunakan dalam waktu terdekat. 

“Ini bagi mengelakkan tragedi bot membawa pendatang asing karam di perairan negara seperti yang berlaku di Kota Tinggi semalam berulang.

Kalau boleh rang undang-undang itu akan digunakan seawal tahun depan,” katanya yang juga Setiausaha Agung Bersatu kepada pemberita di pejabat parti itu di sini hari ini. 

Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021 diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat semalam selepas dibahas 18 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas.

Mengulas mengenai tragedi bot karam yang membawa pendatang tanpa izin di kawasan perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi semalam Hamzah berkata kejadian itu membuktikan ramai warga asing mahu masuk ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. 

Beliau berkata ini menyebabkan ada di antara pendatang tanpa izin menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab. 

“Dengan adanya rang undang-undang baharu, kita (kerajaan) akan hukum mereka yang cuba bawa masuk orang secara haram sama ada sebagai  pekerja asing atau untuk diperhambakan,” katanya. 

Setakat ini, 19 mayat mangsa bot karam di kawasan perairan Tanjung Balau telah ditemukan manakala 17 mangsa lagi dipercayai masih hilang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here