BEIJING, 17 Dis– Pameran keempat sempena kira detik 50 hari Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berlangsung dengan meriah di sini, pada Khamis.

Aktiviti pameran obor yang telah diadakan sejak 7 Dis itu dibuka kepada orang awam bagi membolehkan rakyat menyaksikan sendiri elemen-elemen Sukan Olimpik dengan lebih dekat. 

Difahamkan, antara tarikan tersebut adalah obor Olympia Greece dan  busana yang dipakai pembawa obor.

Pameran tersebut turut diserikan dengan dendangan lagu “Wish” di tapak acara oleh kanak-kanak, simbol inspirasi lebih ramai golongan muda untuk menyemarakkan lagi Sukan Olimpik Musim Sejuk, menyambut turunnya salji dan ais dan menuju ke arah masa depan lebih cerah.

Perwakilan peminat ais dan salji yang mengambil bahagian dalam kempen Akademi Sukan Olimpik Musim Sejuk Vitality serta tokoh dari pelbagai lapisan masyarakat turut berkumpul bersama menzahirkan harapan terhadap temasya itu.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur temasya itu, Xu Zhijun, selain mencerminkan visi “ais dan salji untuk semua, Sukan Olimpik Musim Sejuk juga untuk semua”, aktiviti itu juga menandakan bahawa persiapan temasya Beijing 2022 telah memasuki fasa akhir.

Xu berkata pihaknya komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik, sekali gus menjayakan temasya sukan yang selamat dan meriah.

Untuk rekod, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing menganjurkan kempen Akademi Olimpik Musim Sejuk Vitality pada 2017 di bawah inisiatif ” 300 juta orang melibatkan diri  dalam acara sukan ais dan salji”, selain memainkan peranan penting untuk mempromosi Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Dilaksanakan sejak lima tahun lalu, kempen tersebut berjaya menyuntik kesedaran dan memberi maklumat mengenai Olimpik Musim Sejuk kepada lebih ramai masyarakat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here