BERA, 18 Dis — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengingatkan rakyat untuk tidak alpa walaupan kes baru COVID-19 mula menunjukkan penurunan sejak kebelakangan ini, berbanding puluhan ribu kes semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau berkata semua rakyat perlu menyedari situasi COVID-19 di Malaysia masih ‘belum pulih dan belum selamat’, walaupun jumlah kes baharu sudah berjaya diturunkan menerusi pelbagai kaedah termasuk vaksinasi dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengurangkan penularan jangkitan baru.

“Semasa pengumumkan PKP pertama jumlah kes ialah ratusan dan saya telah berjanji kepada rakyat bahawa bila kita membuka semula negara, buka semula peluang perniagaan, kita tidak akan tutup semula. Sebab itu yang boleh pastikan PKP tidak diperkenalkan semula ialah kita sendiri dengan mematuhi SOP.

“Kerajaan sudah berjanji tidak akan ada PKP seperti dahulu, tetapi kalau kes tiba-tiba meningkat disebabkan varian baru ini, mungkin sukar untuk kita mengekalkan keadaan ini,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di sini hari ini.

Beliau berkata pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) khususnya pemakaian pelitup muka dan tidak berada dalam kawasan sesak perlu terus dipraktikkan terutamanya selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kes kedua varian Omicron di Malaysia, baru-baru ini. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here