KUALA LUMPUR, 19 Dis — Malaysia perlu memastikan ekosistem perniagaan domestiknya bersedia untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menggalakkan pekerja berkemahiran tinggi, seterusnya menjadi negara rantaian nilai tinggi sebelum menandatangani atau meratifikasi sebarang perjanjian perdagangan.

Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah Dr Firdausi Suffian berkata: “Kita memerlukan kurang kekangan. (Pada masa sama) kita tidak mahu ketinggalan. Kita mahu menyertai perjanjian perdagangan bebas (FTA) tetapi kita juga perlu meneruskannya dengan berhati-hati.

“Pertimbangkan dasar kabotaj terkini dan subjek kabel dasar laut. Ia menghalang pembaharuan ekonomi Malaysia. Bagaimanapun, jika mempertimbangkan kepentingan negara, dasar kabotaj perlu kekal.” 

Pada pandangan beliau, kerajaan perlu memastikan kapal asing yang membaiki kabel dasar laut dapat memindahkan kepakaran mereka kepada pekerja Malaysia.

“Perkongsian pengetahuan menggalakkan keupayaan tempatan,” katanya kepada Bernama.

Walaupun terdapat aspirasi untuk menggalakkan ekonomi terbuka, peraturan tertentu masih diperlukan berikutan kepentingan peringkat negara perlu dilindungi.

“Tahap perlindungan dan campur tangan mentakrifkan tahap liberal ekonomi. Akhirnya, kita tidak boleh bergantung hanya kepada pasaran dalam negeri. Kita perlu menyepadukan dalam rangkaian perindustrian global,” katanya.

Mengenai perubahan pesat dalam landskap politik Malaysia dan impaknya kepada hubungan perdagangan Malaysia, beliau berkata perjanjian perdagangan dan politik amat berkait rapat. Walaupun dasar Malaysia terbuka dan telus (pada satu tahap), kepentingan politik mempunyai pengaruh tersirat kepada dasar perdagangan.

“Kita mahu mendapat manfaat daripada FTA. Oleh itu, kita memerlukan instrumen dasar yang berfungsi, terutamanya sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Antara bidang yang perlu kita lihat ialah prinsip Negara Paling Disukai WTO, yang bermakna memberi layanan secara sama rata. Negara-negara tidak dibenarkan mendiskriminasi antara rakan dagang mereka di bawah perjanjian WTO,” katanya.

Firdausi berkata jika Malaysia menyasarkan untuk beralih kepada ekonomi bernilai tinggi, ia perlu memastikan ekosistem perniagaan domestiknya bersedia untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan turut mampu membangunkan kumpulan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Katanya PKS menyumbang 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 65 peratus daripada pasaran pekerjaan.

“Unjuran mendedahkan bahawa ekonomi kita akan berkembang pada tahun depan, tetapi ini tidak bermakna kita akan kembali kepada keadaan normal sebelum COVID-19. Oleh itu, adakah PKS kita sudah bersedia? Pertumbuhan mereka bergantung kepada sokongan kerajaan, bukan sahaja dari segi kewangan tetapi juga dari segi pekerja mahir, seluruh ekosistem dan infrastruktur.

“Kebanyakan negara ingin meningkatkan ekonomi mereka sendiri berikutan mereka telah memulakan semula hubungan perdagangan sebelum COVID-19 secara berperingkat. Apabila berkaitan perdagangan, mungkin terdapat ‘zero-sum game’ dan mungkin terdapat pertukaran. Kepentingan tertentu mungkin dikuatkuasakan. Oleh itu, pertimbangan lanjut untuk PKS diperlukan,” katanya.

Misalnya, katanya banyak yang perlu dilakukan untuk menyediakan negara dan PKS untuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Bajet 2022 mengumumkan sokongan kewangan dan pendigitalan untuk sektor tersebut tetapi PKS perlu lebih bersedia jika mereka ingin berdaya saing.

Bajet 2022 Malaysia memperuntukkan RM332.1 bilion berbanding RM320.6 bilion pada tahun ini berikutan langkah-langkah bantuan COVID-19. Kerajaan menjangka pertumbuhan KDNK sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun depan, dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak 5.9 peratus kepada RM234 bilion.

RCEP, CPTPP dan NAFTA

Apabila menandatangani atau meratifikasi perjanjian perdagangan, adalah baik bagi Malaysia untuk meneruskannya dengan berhati-hati, walaupun FTA mempunyai manfaatnya.

Berbanding RCEP dan NAFTA, kedua-duanya merupakan FTA, Firdausi berkata RCEP menawarkan pasaran yang lebih besar dan lebih baik berbanding Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) yang merangkumi AS, Mexico dan Kanada.

NAFTA mempunyai gabungan KDNK bernilai US$24.37 trilion manakala 15 negara RCEP mempunyai gabungan KDNK sebanyak US$25.84 trilion, atau kira-kira 30 peratus daripada jumlah KDNK dunia.

RCEP ditandatangani oleh 10 negara anggota ASEAN dan lima rakan dialognya yang termasuk Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

CPTPP, sebaliknya, ialah perjanjian pelbagai hala yang merangkumi Malaysia, Mexico, Peru, New Zealand, Singapura dan Vietnam.

Lazimnya, manfaat daripada perjanjian ini memerlukan masa untuk berkuat kuasa. Sebagai contoh, masa diperlukan untuk pelan Tarif Keutamaan Berkesan Sama Rata (CEPT) berkuat kuasa, tetapi ia menunjukkan perhatian Malaysia terhadap butiran, terutamanya dalam sektor automobil, katanya.

Walaupun ini adalah perjanjian serantau, pada peringkat negara individu, Malaysia menikmati kelebihan daya saing dalam bidang utama seperti komponen elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

“Kita boleh memperoleh lebih banyak dalam E&E dan semikonduktor berikutan kita bersepadu dengan baik dalam rangkaian pengeluaran global,” katanya.

Vietnam, seperti China, mempunyai sektor pakaian dan tekstil yang kukuh. Thailand mempunyai industri automobil yang teguh manakala Malaysia bukan peneraju dalam industri tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan negara yang mempunyai aktiviti nilai tambah yang kukuh, seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand. Kita mungkin mendapat manfaat daripada beberapa pelaburan awal. Sebahagian tugas bernilai rendah akan beralih ke Malaysia, tetapi kita perlu meningkatkan rantaian nilai dan tidak terjebak dalam aktiviti nilai pertengahan.

“Aktiviti nilai tambah pertengahan adalah dengan pembayaran peringkat pertengahan dan pampasan, yang menunjukkan tiada kenaikan gaji. Dari segi teori, rangkaian pengeluaran serantau boleh membantu membangunkan ekonomi serantau. RCEP kita menawarkan aspek itu dan membantu ekonomi Malaysia, tetapi kita perlu berhati-hati,” katanya.

Walaupun perjanjian serantau boleh membantu negara anggota individu, kerajaan Malaysia perlu, pada masa sama, membina ekosistem untuk FDI bagi membawa masuk aktiviti berasaskan kemahiran.

“Kita perlu mentakrifkan pemindahan teknologi dalam kalangan syarikat multinasional (MNC) dan kerajaan memerlukan masa untuk mewujudkan dan mengukuhkan ekosistem domestik ini.

“Kita tidak boleh bergantung kepada syarikat asing untuk membina dan membentuk daya saing dalam pasaran,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa aliran masuk pelabur asing tidak bergantung sepenuhnya kepada faedah cukai atau pengecualian cukai selama 10 tahun untuk syarikat multinasional. Sebaliknya, ia mengenai kemahiran dan apa yang ditawarkan oleh pasaran buruh sedia ada.

“Kita mempunyai pekerja mahir tetapi mereka perlu meningkat lagi dalam kemahiran mereka. Kestabilan institusi politik kita juga merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan untuk pelabur memilih iklim pelaburan,” katanya.

Menyokong sentimen itu, ahli ekonomi terkemuka dalam dasar persaingan, peraturan dan pembangunan ekonomi Keith Boyfield berkata kini adalah masa yang sesuai untuk memperkukuh kualiti jenama.

“Dunia memerlukan kemahiran dan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang terdapat dalam era digital kita. Antara eksport utama Malaysia ialah elektronik pengguna,” kata Boyfield.

Dalam memperkukuh kualiti jenama, faktor utama ialah pembangunan modal insan.

Beliau berkata syarikat global menilai semula rantaian bekalan mereka berikutan pandemik COVID-19 dengan matlamat untuk meluaskan rangkaian pembekal mereka untuk mengurangkan risiko pada masa depan.

Bagi manfaat ekonomi daripada RCEP untuk negara anggota ASEAN, katanya manfaat itu tidak semestinya diagihkan secara adil berikutan negara-negara anggota mempunyai konflik antara satu sama lain walaupun wujud aspirasi untuk integrasi serantau.

“Bagaimanapun, manfaat utama yang dijangkakan ialah harapan bahawa ia akan meningkatkan integrasi rantaian bekalan serantau dengan meliberalisasikan peraturan asal. Ini akan menggalakkan peniaga mendapatkan barangan perantaraan daripada mana-mana negara anggota dengan hanya satu perakuan asal.

“Pandemik COVID-19 telah mengatur semula keadaan kepada tahap tertentu. Ia, dari semasa ke semasa, akan menggalakkan perniagaan untuk menyemak semula aspek yang mereka anggap sebagai amalan cekap,” kata Boyfield.

Ternyata, hubungan infrastruktur yang dipertingkatkan akan membantu walaupun Bank Pembangunan Asia berpendapat bahawa pelaburan infrastruktur sebanyak US$1.7 trilion setahun diperlukan dalam tempoh 15 tahun akan datang untuk mengekalkan kadar pertumbuhan dan memerangi isu kemiskinan dan perubahan iklim.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here