CYBERJAYA, 24 Dis — Status pembukaan sekolah penggal ketiga 2021/2022 akan diumumkan dalam masa terdekat berikutan situasi banjir yang melanda negara, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Koridor Pengetahuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Huawei Malaysia di sini hari ini, beliau berkata bencana itu turut mengakibatkan institusi pendidikan seperti sekolah, warga pendidik serta pelajarnya terjejas.

“Kita telah mengadakan perbincangan panjang lebar semalam dengan pihak berkaitan dan pelbagai faktor telah diambil kira. Satu keputusan terbaik akan diumumkan.

“Perbincangan tersebut turut meliputi aspek penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir yang dilakukan di kawasan persekolahan,” katanya.

Sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 dijadual bermula pada 2 Jan hingga 20 Mac tahun hadapan bagi sekolah di negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Bagi negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, ia dijadual bermula pada 3 Jan hingga 20 Mac 2022.

Koridor ICT Huawei itu mengetengahkan sejarah perkembangan ICT dan sumbangan Huawei Malaysia dalam perkembangan bakat digital negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here