GEORGE TOWN, 6 Jan — Keputusan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan ibadah umrah dianggap wajar kerana tindakan itu bertujuan melindungi jemaah daripada penularan jangkitan COVID-19 varian Omicron.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata cuma pihak kerajaan perlu menjelaskan kepada orang Islam bahawa penangguhan itu hanyalah sementara saja, dan akan membenarkan perjalanan untuk mengerjakan ibadat umrah sebaik sahaja ancaman jangkitan varian Omicron berakhir.

Beliau berkata tiada mana-mana pihak yang ingin menghalang sesiapa pun untuk pergi ke Tanah Suci bagi melaksanakan ibadat berkenaan, cuma sekarang ini larangan itu dibuat bagi melindungi jemaah daripada penularan jangkitan COVID-19 varian Omicron.

“Umat Islam di negara ini perlu mendapat penjelasan lanjut tentang keperluan menangguhkan ibadat berkenaan dari sudut hukum fiqah kerana penjelasan itu wajar agar tidak berlaku salah faham bahawa pihak kerajaan menghalang masyarakat Muslim di negara ini daripada menunaikan kewajipan yang dituntut oleh agama mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar Sabtu lepas iaitu Kementerian Kesihatan(KKM) menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Jan ini, berikutan penularan COVID-19 varian Omicron.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here