KUALA LUMPUR, 9 Jan — Pemilik yang menyewakan premis kediaman dan komersial mereka mempunyai pilihan untuk membuat Pertukaran Nama Akaun (COT) ke atas nama penyewa dalam tempoh penyewaan bagi memastikan pengurusan akaun yang lebih teratur selain menjaga kepentingan pemilik premis. 

Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Bhd (TNB) Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata dengan penukaran nama pemilik akaun kepada penyewa, semua tanggungjawab penggunaan dan pembayaran bil elektrik adalah di bawah tanggungjawab penyewa. 

“Pemilik premis masih boleh memantau penggunaan dan pembayaran bulanan penyewa dari semasa ke semasa melalui portal dan aplikasi myTNB.

“TNB memberi kemudahan untuk membuat COT melalui portal myTNB di www.mytnb.com.my atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai aduan pemilik premis selaku pengguna berdaftar yang dibebani bil elektrik berikutan penemuan kesan pengusikan meter atau pepasangan TNB oleh penyewa pengusaha Bitcoin, Megat berkata  cadangan langkah itu boleh mengurangkan risiko pemilik premis terpaksa menanggung hutang bil elektrik penyewa.

“Pada masa sama, kami sentiasa membuka ruang kepada pengguna untuk berjumpa bagi mendapatkan penerangan dan perbincangan lanjut,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here