KOTA KINABALU, 16 Jan  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengiktiraf Music Rights Sabah Berhad (MRS) sebagai badan pelesenan bagi menjalankan aktiviti kutipan royalti penggiat seni muzik tempatan di Sabah berkuat kuasa 7 Jan lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Apresiasi Kepenggunaan di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya dan Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas.

Pada majlis itu, Nanta turut menyerahkan sijil badan pelesenan untuk MRS kepada Pengerusi yang juga Pengarah Urusan MRS Asmin Mubin.

Bercakap kepada pemberita, Nanta berkata MRS akan menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikinan video muzik dan syarikat rakaman tempatan melibatkan etnik tempatan Sabah.

“Penubuhan dan pengiktirafan MRS sebagai badan pelesenan antara lain akan memberi manfaat kepada ahli-ahlinya dalam menguruskan hak royalti di samping menjaga kebajikan mereka dalam industri muzik.

Antara ahli bernaung di bawah badan ini ialah pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi, pemuzik dalam rakaman lagu, pembikin video muzik dan syarikat rakaman,” katanya.

Nanta berkata MRS merupakan badan pelesenan ketujuh diisytihar Pegawal Hak Cipta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang diberi kuasa mengutip royalti muzik dan mengeluarkan lesen penggunaan muzik di khalayak umum khususnya di Sabah.

Enam yang lain sebelum ini ialah Music Authors Copyright Protection Berhad (MACP), Public Performance Berhad (PPM), Recording Performers Berhad (RPM), MPLC Sdn Bhd,  Malaysia Reprographic Rights Centre Malaysia Berhad (MARC) dan Music Right (Sarawak) Berhad, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here