KUALA LUMPUR, 3 Feb — Gembira bercampur gemuruh, itulah perasaan yang digambarkan oleh seorang kanak-kanak setelah menerima suntikan vaksin pada Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah di sini, hari ini.

Usai disuntik, Adam Mohd Ali, 11, berkongsi kegembiraan sekali gus menjadikannya kanak-kanak kedua dalam negara yang telah divaksin selepas rakan sebaya, Ahmad Ramdhani Jafri disuntik terlebih dahulu oleh Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

“Sakit itu ada tetapi sedikit sahaja. Saya rasa seronok sebab saya sudah divaksin,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menerima suntikan Pfizer-BioNTech/Comirnaty yang turut disaksikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Berkongsi rasa syukur, ibunya Rosmariana Tomin, 28, berkata beliau sudah mendaftarkan anaknya untuk menerima suntikan vaksin sejurus sahaja pendaftaran janji temu itu dibuka pada 27 Jan lepas.

“Alhamdulillah saya rasa lega dan gembira apabila anak saya sudah divaksin. Adanya vaksin ini, saya rasa anak terlindung dan selamat jika keluar ke tempat awam,” katanya.

Senada dengannya, Foo Siang Lin, 40, turut berkongsi cerita memaklumkan anaknya Izisaac Foo yang berusia 7 tahun sering bertanyakan soalan berhubung tarikh suntikan vaksin kerana tidak sabar untuk menerimanya.

Katanya, keterujaan melihat individu lain divaksin telah mendorong anaknya itu untuk mendapatkan suntikan vaksin awal bagi melindungi diri, keluarga serta komuniti setempat.

Di SELANGOR,  ibu bapa membawa anak mereka yang berumur lima hingga 11 tahun mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam yang dijangka menerima sekitar 200 ke 300 kanak-kanak pada setiap hari dari 8.30 pagi hingga 5 petang.

Nur Dina Baharudin, 44, yang membawa seorang anak perempuan berumur 7 tahun dan seorang anak lelaki, 10,  berkata beliau mendaftarkan kedua-dua mereka untuk mendapatkan vaksin sejak akhir tahun lepas bagi memastikan mereka terlindung daripada jangkitan COVID-19.

“Saya dan suami telah mendapat dos penggalak dan anak lelaki saya berumur 14 tahun juga telah divaksin, setakat ini kami tidak mengalami apa-apa kesan daripada vaksinasi ini,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, Olivia Chiang, 10,  yang ditemani ibu, Jane Tan, 43, gembira kerana telah menerima vaksin bagi melindungi dirinya daripada COVID-19.

Tan juga menasihatkan ibu bapa lain supaya tidak khuatir atau takut dengan kesan sampingan vaksin COVID-19 serta tidak mudah percaya dengan berita palsu mengenai vaksin itu.

Di PAHANG, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata seramai 27,864 daripada kira-kira 197,700 kanak-kanak telah didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera setakat 8 pagi tadi.

Beliau berkata pemberian vaksin COVID-19 kanak-kanak di negeri itu akan bermula Isnin depan di pusat pemberian vaksin khas (SPPV) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Katanya 78 PPV telah dikenal pasti di negeri itu terdiri daripada 11 SPPV, 60 Klinik Kesihatan serta Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, selain tujuh PPV “Offsite” yang dikendalikan pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan di luar fasiliti kesihatan swasta mereka.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyifatkan PICKids sebagai pelengkap akhir kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sekali gus menyasarkan pemberian satu dos kepada 70 peratus kanak-kanak di sekolah (usia tujuh hingga 11 tahun) dan 50 peratus untuk keseluruhan 3.6 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here