KUALA LUMPUR, 17 Feb — Bekas pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang hari ini dikurniakan anugerah berprestij kerajaan Jepun, ‘The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon’.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan atas sumbangan besar beliau kepada dunia kewartawanan selama lebih lima dekad, dan dalam mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

Wartawan veteran itu berkata, anugerah berprestij asing yang diterimanya hari ini adalah sesuatu yang sangat istimewa apatah lagi dikurniakan oleh kerajaan Jepun, sebuah negara terkemuka di dunia.

“Sebagai mengiktiraf sumbangan saya sepanjang dekad ini sebagai pengamal media, atau lebih khusus sebagai wartawan yang telah menulis beribu-ribu berita mengenai hal ehwal negara, serantau dan antarabangsa, saya telah menerima beberapa anugerah oleh Kerajaan Negeri dan juga kerajaan Persekutuan Malaysia.

“Tetapi anugerah The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Neck Ribbon, daripada Kerajaan Jepun, sememangnya sangat istimewa kepada saya, dan saya percaya anugerah ini juga untuk Bernama, Agensi Berita Nasional Malaysia, tempat saya berkhidmat selama 41 tahun sehingga Januari 2020,” katanya dalam ucapan penerimaan selepas menerima anugerah daripada Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko dalam satu majlis ringkas yang diadakan di kediaman rasminya di sini, hari ini.

Azman, yang mesra dirujuk sebagai AU oleh mereka yang mengenalinya, meningkat daripada seorang wartawan kadet kepada Ketua Pengarang, Pengurus Besar dan kemudiannya Pengerusi di Bernama. Ia adalah satu pencapaian yang jarang berlaku dalam lingkungan media tempatan.

Azman yang berasal dari Sarawak berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) Malaysia, sebuah titik perubahan penting yang bertujuan emacu rakyat Malaysia ke tahap budaya kerja, disiplin dan produktiviti yang lebih tinggi.

Beribu-ribu anak muda Malaysia telah mendapat faedah belajar dan menamatkan pengajian di Jepun di bawah dasar itu serta memperoleh pengalaman, kepakaran dan pengetahuan secara langsung bagaimana Jepun mencapai kejayaan besar hari ini.

“Graduan itu telah menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Malaysia, dan turut sama memupuk hubungan dan persahabatan yang lebih erat antara kedua-dua negara kita,” katanya sambil merujuk kepada menantunya, Yusuf Karim yang merupakan seorang penuntut di bawah LEP.

Azman yang pernah berkongsi hubungan mesranya dengan duta Jepun ke Malaysia terdahulu berkata beliau bernasib baik berkesempatan melawat Jepun beberapa kali dan satu sikap yang sangat disukainya jika rakyat Malaysia boleh mencontohi Jepun dalam menepati masa.

“Menepati masa bermakna mematuhi masa yang ditetapkan atau menjadi kebiasaan; tidak lewat tetapi segera. “

Bekas Duta Besar Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, menjelaskan kepada saya bahawa masalah yang ditimbulkan oleh seorang anggota masyarakat yang tidak mematuhi masa yang ditetapkan ialah sikap itu membuang masa orang lain yang mematuhinya,” katanya.

Sementara itu, Takahashi dalam ucapannya berkata Azman, yang secara aktif menggalakkan saling persefahaman antara Jepun dan Malaysia dan sejak 50 tahun lepas sebagai wartawan telah banyak menyumbangkan dalam mendalami hubungan kedua-dua negara.

“Sementara perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad mencetuskan Dasar Pandang Ke Timur pada 1982, Datuk Seri menemubual penduduk Jepun serta syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia, dan menulis pelbagai artikel memperkenalkan etika kerja Jepun dan kecekapan tinggi pekerja-pekerja Jepun ,” katanya merujuk kepada Azman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here