KUCHING, 25 Feb — Tiada kompromi mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19 yang ditetapkan sepanjang acara Citrawarna Keluarga Malaysia 2022.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata SOP itu dikuatkuasakan bagi menjaga keselamatan pengunjung serta pempamer yang terlibat dengan acara itu.

“Dalam kita berhibur dan melakukan aktiviti rancak pada waktu sama, kita juga perlu mengimbangi dan mengambil kira faktor keselamatan.

“SOP kita memang menyeluruh malah kita ada menyediakan ujian RTK sebelum pengunjung masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan gerai yang terlibat dalam Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Karnival empat hari bermula semalam dengan bertemakan ‘Temasya Kepelbagaian Budaya’ itu, diadakan kembali dan Kuching menjadi lokasi pertama dipilih selepas hampir empat tahun tidak diadakan.

Karnival itu menyediakan pesta yang penuh warna-warni dengan pelbagai program dan aktiviti pelancongan, selain persembahan seni dan budaya Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here