KUALA LUMPUR, 7 Mac — HSBC Malaysia kekal komited untuk terus menjadikan negara ini sebagai keutamaan dalam strateginya selain menjadi pasaran penting bagi pertumbuhan kumpulan perbankan itu di peringkat global.

Ini dibuktikan menerusi pembukaan rasmi ibu pejabat baharunya di Menara IQ yang terletak di pusat kewangan antarabangsa Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX), di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Malaysia, Stuart Milne berkata pembukaan ibu pejabat Malaysia yang baharu itu mengukuhkan komitmen pihaknya untuk menggunakan kepakaran, keupayaan, keluasan dan perspektif HSBC untuk membuka peluang baharu kepada pelanggan.

“Menerusi langkah memanfaatkan keterhubungan antarabangsa HSBC, kami akan terus mengukuhkan rangkaian tawaran kami merentasi perbankan runcit dan korporat, dengan tumpuan khusus pada kewangan mampan dan inovasi digital, untuk terus memacu pertumbuhan perniagaan di negara ini,” katanya pada majlis pembukaan rasmi ibu pejabat baharu HSBC di Menara IQ, TRX di sini pada Isnin.

Perasmian bangunan 33 tingkat bernilai US$250 juta disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Milne berkata di HSBC, tujuan mereka adalah membantu pelanggan, warga kerjanya dan komuniti yang menerima khidmat mereka untuk “menerajui dunia tanpa batasan”.

Beliau berkata di Malaysia HSBC terus memberi tumpuan dalam menyokong aspirasi kerajaan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi dan membantu pembinaan semula negara dengan lebih baik.

“Ini termasuk menumpukan sebahagian besar usaha HSBC untuk memantapkan landskap inovasi digital dan beralih kepada ekonomi yang lebih rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan pihaknya dalam kedua-dua bidang ini, The Asset telah menobatkan HSBC sebagai Bank Digital terbaik di negara ini dan Bank Islam ESG Terbaik pada 2021.

TRX telah dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan untuk memudah cara transformasi ekonomi Malaysia, katanya.

Beliau berkata pembangunan baharu ini akan memanfaatkan kekuatan Malaysia yang sedia ada dan kedudukan strategiknya sebagai pelengkap kepada pusat-pusat ekonomi dan kewangan lain di rantau ini.

Milne berkata sebahagian daripada usaha kemampanan, HSBC juga menyokong usaha sama untuk membantu komuniti di negara ini berkembang maju.

Sebagai bukti komitmen tersebut HSBC Malaysia menyumbangkan RM1 juta kepada Pusat Alam Sekitar Global dan Yayasan Inovasi Malaysia pada majlis perasmian itu.

Menurut kenyataan HSBC Malaysia sempena perasmian itu, sejumlah 5,000 pekerja akan ditempatkan di pejabat baharu bank itu dan cawangan utama di Leboh Ampang di sini juga telah berpindah ke Menara IQ.

Cawangan baharu itu, yang dilengkapi kemudahan digital yang dipertingkatkan dan teknologi inovatif, menawarkan rangkaian perkhidmatan runcit yang komprehensif, di samping akses kepada capaian antarabangsa HSBC, berupaya membantu memenuhi pelbagai keperluan pelanggan HSBC di pusat bandar raya, jelasnya.

“Perpindahan ke bangunan Menara IQ setinggi 33 tingkat, di mana HSBC telah melabur sebanyak US$250 juta, menunjukkan fokus bank ini untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul, menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.

“Premis baharu itu akan membolehkan pekerjanya berada dalam model baharu Pekerjaan Masa Depan, yang menawarkan peralihan ke arah gaya kerja yang lebih hibrid dan fleksibel,” tambahnya.

Ia menjelaskan, pembukaan ibu pejabat di TRX itu mengukuhkan lagi rancangan pertumbuhannya di negara ini, pasaran keutamaan bagi HSBC Group di peringkat global, dan menjadi bukti teguh komitmen jangka panjangnya terhadap perniagaan dan pelanggannya di sini.

HSBC terus meneguhkan komitmennya di Malaysia melalui pelaburan sedia ada bank itu termasuk termasuk US$58 juta yang telah dilaburkan untuk membina keupayaan digital cawangan bank sejak 2018, menurutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here